Aaron-Wooi Yik cerahkan peluang buru gelaran sulung Terbuka India

Aaron-Wooi Yik cerahkan peluang buru gelaran sulung Terbuka India

AARON Chia (kiri) dan gandingannya Soh Wooi Yik akan menghitung pertemuan sama ada menentang beregu No. 20 dunia, Liu Kuang Heng-Yang Po Han dari Taiwan atau pasangan ke-22 dunia, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita dari Jepun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke separuh akhir buat kali kedua berturut-turut selepas menyingkirkan wakil Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan pada peringkat lapan terbaik Kejohanan Badminton Terbuka India di New Delhi, India, hari ini.

Gandingan No. 1 Malaysia itu melakar kemenangan straight set ke atas Jhe Huei-Po Hsuan 21-19, 21-14 dalam masa 31 minit.

Kemenangan Aaron-Wooi Yik tersebut semakin melebarkan rekod pertemuan mereka ke atas beregu No. 15 dunia itu menjadi 5-0.

Pada separuh akhir, esok, Aaron-Wooi Yik akan menghitung pertemuan sama ada menentang beregu No. 20 dunia, Liu Kuang Heng-Yang Po Han dari Taiwan atau pasangan ke-22 dunia, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita dari Jepun.

Aaron-Wooi Yik mempamerkan prestasi konsisten selepas mereka turut mara ke separuh akhir pada Terbuka Malaysia, sebelum akur di tangan juara dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae pada final, minggu lalu.

Beregu negara itu berpeluang memburu gelaran di Terbuka India, selepas Won Ho-Seung Jae yang juga merupakan gandingan No. 1 dunia menarik diri pada kejohanan berstatus Super 750 itu.

Pada separuh akhir, tahun lalu, Aaron-Wooi Yik tumpas kepada beregu handalan Korea Selatan tersebut dan pencapaian terbaik mereka di India ialah muncul naib juara pada edisi 2023.

Justeru, untuk edisi kali ini, Aaron-Wooi Yik perlu memanfaatkan kesempatan itu untuk menjulang gelaran sulung pada Terbuka India dengan status mereka sebagai pilihan pertama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN