Wei Chong-Kai Wun akui masih ketinggalan di belakang senior

Wei Chong-Kai Wun akui masih ketinggalan di belakang senior

Wei Chong-Kai Wun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PETALING JAYA: Beregu lelaki badminton No. 2 negara, Man Wei Chong mengakui dia dan pasangannya, Tee Kai Wun masih belum mampu mengejar standard senior mereka dan sedang berusaha untuk menuju ke arah tersebut.

Pemain berusia 26 tahun itu berkata, untuk berdiri sama tinggi dengan beregu-beregu senior, dia dan Kai Wun perlu ada pencapaian bagi meletakkan mereka pada standard yang sama.

“Ya, saya rasa kami masih lagi cuba mengejar langkah senior kami seperti Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta sekarang Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

“Masih banyak pencapaian yang belum kami capai dan kami berharap dapat mengejar mereka,” katanya ketika ditemu bual wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan pusingan pertama pada Terbuka India di New Delhi, India, semalam.

Pengakuan Wei Chong itu sendiri diakui oleh Pengarah kejurulatihan beregu badminton kebangsaan, Rexy Mainaky yang berpendapat Malaysia mempunyai beregu lelaki yang banyak, tetapi, pengalaman dimiliki pasangan No. 2 dunia, Aaron-Wooi Yik memisahkan mereka dengan gandingan yang lain.

Kata pengendali kelahiran Indonesia itu, jurang masih wujud antara beregu senior tersebut dengan Wei Chong-Kai Wun terutamanya dari segi pengalaman dan juga keyakinan kepada diri mereka sendiri.

Wei Chong juga berkata, Malaysia memiliki beregu lelaki yang banyak dan kadang kala, mereka bertembung sesama sendiri pada kejohanan antarabangsa.

“Kalau bertemu seawal pusingan pertama itu biasa berlaku dan kami memang sentiasa bersedia jika ia berlaku, ia tidak memberi tekanan pun,” katanya.

Pada pusingan pertama di Terbuka India, semalam, Wei Chong-Kai Wun yang menghuni ranking No. 6 dunia melakar kemenangan straight set ke atas rakan senegara, Nur Mohd Azryin Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong 21-16, 21-15 dalam masa 29 minit.

Esok di peringkat 16 terbaik, Wei Chong-Kai Wun akan berdepan pasangan No. 24 dunia, Christo Popov-Toma Junior Popov.

Beregu Perancis itu menewaskan beregu Malaysia, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal 21-11, 21-19 dalam masa 35 minit.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua beregu, Wei Chong-Kai Wun memiliki kelebihan psikologi ke atas gandingan adik beradik Popov itu dengan rekod kemenangan 4-0.

Kali terakhir beregu negara itu menentang wakil Perancis tersebut adalah pada China Masters yang berkesudahan Wei Chong-Kai Wun menang dalam pertarungan sengit 21-11, 25-27, 21-15. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN