Arif-Roy King teruskan hari cemerlang pemain Malaysia

Arif-Roy King teruskan hari cemerlang pemain Malaysia

ARIF Junaidi-Yap Roy King
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki No. 17 dunia, Arif Junaidi-Yap Roy King meneruskan hari cemerlang kem negara selepas menjejakkan kaki ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Pada aksi peringkat 32 terbaik itu, Arif-Roy King mengetepikan beregu gabungan dua negara, Korea Selatan/Malaysia, Choi Sol Gyu-Goh V Shem 22-20, 21-12 dalam masa 38 minit.

Kemenangan itu juga amat bermakna buat Arif-Roy King yang berjaya membalas dendam di atas kekalahan mereka di tangan beregu sama pada Terbuka Australia, tahun lalu yang sekali gus menjadikan rekod pertemuan kini terikat 1-1.

Esok di pusingan kedua, Arif-Roy King bakal mengharungi ujian lebih getir menentang gandingan No. 3 dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India.

Juara Terbuka Macau itu tidak memiliki rekod baik setiap kali berdepan bekas beregu No. 1 dunia tersebut apabila Arif-Roy King tewas dalam ketiga-tiga pertemuan lalu.

Arif-Roy King yang kali pertama melepasi halangan pusingan awal di Terbuka Malaysia, gagal berbuat demikian pada edisi lalu, selepas tunduk di tangan beregu handalan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae di peringkat 32 terbaik.

Arif berkata, dia bersyukur dapat meraih kemenangan yang disifatkannya sebagai membalas dendam ekoran kekalahan straight set di tangan Sol Gyu-V Shem pada Terbuka Australia.

“Hari ini, kita dapat menang, jadi, saya gembira, dapatlah balas dendam balik dan masuk ke pusingan kedua ini satu bonus jugalah untuk kita.

“Kalau boleh, kita tak naklah setakat pusingan kedua, esok, kita akan cuba bertemu Satwiksairaj-Chirag,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan berakhir.

Kata pemain berusia 23 tahun itu, dia enggan meletakkan sebarang tekanan menjelang perlawanan pusingan 16 terbaik itu, tetapi, akan berusaha bagi mencari kemenangan.

Roy King pula berkata, komunikasi antara dirinya dan Arif amat penting dan saling percaya di antara satu sama lain mampu menjadi penyumbang terbesar untuk mengekalkan permainan yang baik bagi memburu kemenangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN