Yamaha uji ketahanan Miller

Yamaha uji ketahanan Miller

JACK Miller. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Musim pertama Jack Miller bersama Yamaha disifatkan penuh cabaran apabila pelumba Australia itu mengakui perlu ‘mengejar dari belakang’ hampir sepanjang tahun dalam usaha menyesuaikan diri dengan jentera baharu.

Perpindahan ke Pramac Yamaha selepas masa depannya dalam MotoGP hampir tergugat menyaksikan Miller melalui fasa peralihan sukar, namun cukup untuk meyakinkan pasukan mengekalkannya hingga musim 2026.

“Musim ini ada naik dan turun, ada keputusan yang bagus dan ada yang terlepas walaupun sepatutnya boleh jadi lebih baik.

“Apabila bertukar pengeluar dalam MotoGP yang sangat kompetitif, anda sebenarnya cuba membina kelajuan tanpa ujian mencukupi dan hanya bermain kejar-mengejar sepanjang tahun,” kata Miller.

Prestasi terbaik Miller hadir dengan tempat kelima di Grand Prix (GP)  Amerika Syarikat (AS), selain hampir meraih kemenangan di Le Mans dalam keadaan litar bercampur sebelum peluang itu terlepas.

Pelumba berusia 30 tahun itu turut mencuri tumpuan di Phillip Island apabila memulakan perlumbaan di petak hadapan dan hanya dipisahkan 0.066 saat daripada podium pecut, namun terjatuh awal dalam perlumbaan utama.

“Sukar untuk menukar jentera, mudah melakukan kesilapan, tetapi kami cuba menyesuaikan diri sebaik mungkin dan secara keseluruhan ia tetap musim yang menyeronokkan,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN