PETALING JAYA: Setiausaha Agung Kelab Muay Thai Pahlawan Malaysia, Dr Noor Azam Samsudin menegaskan bahawa mereka lebih memberi fokus kepada kualiti pertandingan dan akan memastikan setiap atlet yang menyertai pertandingan itu adalah benar-benar layak selepas melepasi tapisan ditetapkan.
Jelasnya, beliau tidak mahu menjadikan gelanggang seni bela diri sebagai tempat menjana duit semata-mata sehingga memanggil mereka yang bukan berlatar belakang sukan berkenaan secara profesional kerana itu akan memberikan kesan tidak baik pada masa akan datang.
Justeru, penganjuran Wilayah Pahlawan Kejuaraan Antarabangsa Muay Thai 2.0 (WPIMC) memberi keutamaan kepada penyertaan atlet yang benar-benar aktif dan berpengalaman di gelanggang profesional, bukannya sekadar memilih peserta untuk tujuan menarik penonton.
“Kita tidak mahu memberi ruang kepada mereka bukan fighter sebenar. Sebab itu untuk WPIMC ini kita panggil yang benar-benar petarung yang selalu masuk bertanding dan kita juga menolak selebriti dalam acara ini. Namun di luar kita tetap berkawan dengan semua orang,” katanya.
Selain itu, bagi memastikan acara ini terus mendapat sambutan, edisi kali kedua tahun ini diadakan sedikit berlainan iaitu dengan menyelitkan elemen hiburan, penggunaan LED dan sokongan padu daripada pihak pelancongan Malaysia bagi menarik minat bukan sahaja orang Malaysia, tetapi dari luar negara.
Noor Azam menyifatkan pertandingan seperti ini bukan mengajar seseorang itu menjadi pembuli kerana pihaknya tidak menggalakkan perkara berkenaan.
Pihaknya turut mengadakan kempen anti-buli untuk elak gejala ini terjadi terutama di sekolah.
WPIMC 2.0 bukan sahaja menampilkan atlet baru meningkat naik tetapi turut disertai oleh pemenang pingat emas Sukan SEA sebelum ini termasuk bekas peserta One Championship dan pemenang pingat kejohanan peringkat tertinggi di luar negara.-UTUSAN










