Wirtz buka akaun gol di Liverpool

Wirtz buka akaun gol di Liverpool

FLORIAN Wirtz akhirnya menjaringkan gol sulungnya di Liverpool pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Wolverhampton di Anfield, hari ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL: Jaringan sulung Florian Wirtz bersama kelab dan gol Ryan Gravenberch memastikan Liverpool meraih kemenangan cemas 2-1 ke atas Wolverhampton Wanderers dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield, sekali gus melonjakkan The Reds ke kelompok empat teratas liga, awal pagi tadi.

Perlawanan bermula dengan penuh emosi apabila dua anak mendiang Diogo Jota, Dinis dan Duarte, mengiringi pemain ke padang sebelum Liverpool hampir membuka jaringan menerusi Hugo Ekitike yang hanya dikecewakan palang gol.

Skuad kendalian Arne Slot akhirnya menemui sentuhan penyudah sebelum rehat apabila Gravenberch melepaskan rembatan deras menewaskan Jose Sa untuk gol pertamanya sejak September.

Momentum itu diteruskan apabila Wirtz, yang dibawa masuk dari Bayer Leverkusen pada jendela perpindahan musim panas, meledak gol pertamanya bersama Liverpool hasil lorongan kemas Ekitike.

Wolves yang masih bergelut di dasar liga bagaimanapun enggan menyerah kalah apabila Santiago Bueno menanduk masuk gol daripada sepakan sudut untuk merapatkan jurang pada separuh masa kedua.

Wirtz hampir mencipta gol kedua pasukan selepas aksi individu memukau sebelum membuka peluang kepada Gravenberch, namun percubaan pemain tengah itu tersasar.

Pelawat turut memiliki peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan menerusi Tolu Arokodare, tetapi tandukannya dari jarak dekat gagal menemui sasaran.

Liverpool akhirnya bertahan dengan disiplin tinggi dalam minit-minit akhir untuk mengesahkan kemenangan ketujuh tanpa kalah berturut-turut, manakala Wolves mencatat rekod terburuk permulaan musim tanpa kemenangan dalam sejarah EPL. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN