KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) memerlukan dana sekurang-kurangnya RM20 juta bagi memperkasakan program pembangunan sukan para negara.
Permintaan itu disuarakan oleh Presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin susulan kejayaan kontinjen negara membawa pulang 14 pingat emas, 12 perak dan 13 gangsa dalam Sukan Remaja Para Asia (AYPG) 2025 di Dubai baru-baru ini.
Beliau berkata, dana itu diperlukan oleh badan induk tersebut selepas melihat kejayaan atlet para negara beraksi cemerlang dalam setiap temasya yang disertai.
“Mantan menteri (Hannah Yeoh) telah mengurangkan dana daripada RM12 juta tahun lepas kepada RM10 juta. Saya akan berjumpa dengan menteri yang baharu untuk menaikkan dana tersebut kerana atlet dalam program untuk 83 orang tidak mencukupi.
“Kita tidak mahu membantutkan program pembangunan kita dan sebab itu, saya berharap mungkin saya berbincang dengan menteri untuk mendapatkan dana yang lebih.
“Sekurang-kurangnya RM20 juta diperlukan bagi memperkasakan program pembangunan. Saya percaya dengan merit yang kita ada dapat menunjukkan kepada kerajaan di mana atlet para banyak menyumbang kepada negara dan menaikkan martabat sukan negara,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan AYPG 2025 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini. Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Dalam pada itu, Megat berharap barisan atlet para negara menyerap semangat kejayaan kontinjen negara di Sukan Sea Thailand baru-baru ini yang akan beraksi di Sukan Para ASEAN (APG) 2025, Januari ini.
“Kalau tanya saya, kita memang sudah cemerlang dari dulu. Jadi, kita nak lebih cemerlang. APG Kemboja kita dapat 50 pingat emas, kita sasar hanya 36 sahaja tapi dapat 50 walaupun kontinjen kita kecil,” katanya.










