PETALING JAYA: Skuad hoki wanita negara membuka kempen Sukan SEA Thailand 2025 dengan langkah kanan selepas menundukkan Singapura 3-0 dalam saingan Kumpulan A di Khao Kheow Sports Complex, hari ini.
Malaysia berada di kelas tersendiri apabila memanfaatkan peluang pukulan penalti strok (PS) menerusi Anith Humaira Baharudin pada minit ke-24 untuk memecah kebuntuan.
Babak kedua terus menyaksikan dominasi Speedy Tigress apabila Nuramirah Shakirah Zulkifli menggandakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti (PC) pada minit ke-31.
Nur Afiqah Syahzani Azhar kemudian melengkapkan malam gemilang skuad negara apabila menyempurnakan satu lagi PC pada minit ke-53 untuk memastikan tiga mata penuh menjadi milik Malaysia.
Selepas kemenangan meyakinkan itu, Malaysia akan berdepan Indonesia Sabtu ini pada pukul 12.45 waktu Thailand sebelum menutup aksi kumpulan menentang tuan rumah pada 16 Disember.
Dua kemenangan daripada baki perlawanan dijangka membuka laluan positif buat Speedy Tigress untuk mara ke separuh akhir yang dijadual berlangsung pada 18 Disember ini. – UTUSAN










