PETALING JAYA: Pasukan skuasy kebangsaan masih mengekalkan dominasi di pentas Asia Tenggara apabila menyapu bersih empat pingat emas yang ditawarkan tuan rumah, Thailand pada Sukan SEA 2025 di Kolej Vajiravudh, Bangkok, Thailand, semalam.
Tanpa kelibat bintang No. 7 dunia, S. Sivasangari dan pemain ke-17 dunia, Ng Eain Yow, Malaysia masih terlalu handal buat pencabar mereka pada temasya dwi tahunan tersebut.
Selain Sivasangari dan Eain Yow, skuad negara juga tidak membawa Rachel Arnold, Aira dan Aifa Azman, C. Ameeshanraj dan Mohammad Shafiq Mohd Kamal.
Barisan yang lebih muda diturunkan dengan hanya Sanjay Jeeva, 26, muncul sebagai pemain paling senior yang diterbangkan ke Bangkok.
Semalam, skuasy negara menokok dua lagi pingat emas dalam acara perseorangan lelaki serta wanita yang menyaksikan Sanjay Jeeva dan Noor Ainaa Amani Ampandi muncul selaku juara pada perlawanan akhir.
Pertembungan sesama sendiri di pentas final, berkesudahan pilihan pertama, Sanjay menewaskan rakan senegara, Duncan Lee 6-11, 11-6, 11-5, 11-4 dalam masa 52 minit.
Sementara itu, untuk final perseorangan wanita pula, Noor Ainaa mengetepikan rakan seperjuangan, Yee Xin Ying 11-7, 12-10, 8-11, 11-4 dalam masa 35 minit.
Dalam acara perseorangan sahaja, Malaysia berjaya membawa pulang dua pingat emas dan dua perak, manakala, bagi sektor beregu, gandingan negara turut menyumbang dua lagi emas.
Harith Danial Jefri-Low Wa Sern menggondol pingat emas untuk beregu lelaki bawah 21 tahun, manakala, dalam aksi beregu campuran bawah 21 tahun, Harith yang berpasangan dengan Sehvetrraa pula mengungguli kategori tersebut.
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Ajaz Azmat berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian yang dipamerkan para pemainnya sepanjang Sukan SEA.
“Kami beraksi cemerlang pada edisi kali ini dan berjaya mencapai sasaran yang diletakkan oleh Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Ketika ditanya pula tentang perancangan skuad negara selepas ini, beliau berkata, fokus Malaysia sudah boleh dialihkan kepada Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun pada tahun depan yang mana cabaran di temasya itu jauh lebih sukar.-UTUSAN










