BUKIT JALIL: Sering terkesan dengan kesusahan dan keperitan hidup mereka yang memerlukan, Ratu Rock tanah air, Ella, menjadi antara individu yang aktif melakukan sumbangan peribadi.
Perkara itu diakui oleh suaminya sendiri, Kapten Azhar Ghazali yang turut mendedahkan bahawa isterinya itu lebih selesa memilih untuk tidak menguar-uarkan perkara itu kepada umum.
“Saya beri contoh, Ella pernah menyertai misi kemanusiaan ke Lubnan, menyantuni mereka yang berada di khemah pelarian perang di Syria.
“Dia juga bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) untuk menyumbang idea pemikiran belia ke sekolah-sekolah seni untuk membina generasi baharu bermain muzik.
“Dia juga pernah terlibat menyantuni gelandangan-gelandangan dengan menghulurkan makanan. Cuma perkara-perkara itu tidak diumumkan,”katanya.
Azhar berkata demikian ketika ditemui di Sidang Media Pengumuman Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Selain itu, Azhar berkata, alasan Ella merahsiakan amal kebajikan itu kerana mahu menjaga privasi semua pihak.
“Orang yang menerima sumbangan itu juga mungkin berasa malu, jadi kita menjaga sensitiviti dan privasi.
“Sebenarnya, Ella ada senarai nama mereka yang memerlukan daripada pelbagai pihak, tetapi pihak penerima juga tidak tahu sumbangan tertentu itu adalah daripada pihak Ella.
“Golongan tersebut daripada rakan artis, kawan-kawan, orang yang kesusahan, orang yang ada anak kurang upaya, yang sakit. Mereka sendiri pun tidak tahu mendapat sumbangan secara konsisten daripada Ella,”katanya.
Sementara itu, mengenai konsert, Ella bakal hadir dengan sebuah konsert berskala besar pada 14 Februari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Tiket akan mula dijual pada 8 Disember depan pada harga serendah RM39 sehingga RM499.
Setiap pembelian tiket akan disumbangkan kepada tiga organisasi kebajikan iaitu Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Yayasan Kebajikan Negara dan Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air.
Pembeli perlu memilih tabung sumbangan pilihan mereka sama ada Peace (Persatuan Cinta Gaza Malaysia), Love (Yayasan Kebajikan Negara ) dan Rindu (Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air).










