Sepak takraw hadiahkan emas ke-57 Malaysia

Sepak takraw hadiahkan emas ke-57 Malaysia

SKUAD regu negara ketika berdepan Vietnam dalam aksi final Sukan SEA Thailand 2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAKHON PATHOM: Skuad sepak takraw kebangsaan menghadiahkan pingat emas terakhir buat kontinjen Malaysia di Sukan SEA Thailand 2025 apabila menewaskan Vietnam dalam aksi final acara regu, sebentar tadi.

Trio negara yang diwakili oleh Farhan Adam (apit kanan), Syahir Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias (apit kiri) mempamerkan kemas untuk mengakhiri penantian emas sejak edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Dalam aksi di Gimnasium Stadium Nakhom Pathom itu, trio Vietnam Ngo Thanh Long (tekong), Vuong Minh Chau (apit kiri) dan Huynh Ngoc Sang (apit kanan) gagal memberi tentangan apabila tunduk straight set 15-9, 15-9.

Pada set kedua, Vietnam menampilkan sedikit peningkatan untuk memberi saingan, namun kemasukan Haziq Hairul Nizam bagi menggantikan Syahir mematikan sisa perjuangan yang cuba dijelmakan lawan.

Kali terakhir Malaysia meraih emas dalam acara regu lelaki adalah ketika menjadi tuan rumah pada edisi 2017 di Kuala Lumpur yang menyaksikan skuad negara menewaskan Filipina di pentas final.

Skuad negara turut meraih emas pada edisi sebelum itu di Singapura, namun kedua-dua edisi tanpa penyertaan Thailand yang terikat engan peraturan had penyertaan acara di temasya dwitahunan itu.

Sementara itu, Thailand selaku juara berturut-turut tiga edisi sejak di Filipina 2019, terus berdepan mimpi ngeri pada temasya kali ini selepas tersingkir di peringkat separuh akhir.

Regu utama Thailand yang dianggotai oleh Pornthep Tinbangbon, Varayut Jantarasena dan Marukin Phanmakon tewas kepada Vietnam 13-15, 15-6, 9-15, sekali gus sekadar berpuas hati dengan gangsa.

Sebelum itu, Thailand juga dimalukan oleh Malaysia, apabila anak buah Ahmad Jais Baharun mencipta detik manis menamatkan kemarau 34 tahun dengan meraih emas acara regu berpasukan lelaki menerusi kemenangan 2-1.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN