PETALING JAYA: Semangat berpasukan menjadi kunci kejayaan skuad tenpin boling berpasukan wanita negara dalam menghadiahkan pingat emas kedua buat Malaysia pada Sukan SEA Thailand 2025 di Blu-O Rhythm Bowl, Bangkok, semalam.
Gandingan Natasha Mohamed Roslan, Sin Li Jane, Nur Hazirah Ramli dan Adania Mohd Redzwan mempamerkan aksi penuh konsistensi untuk menewaskan Indonesia 817–773 jatuhan pin pada perlawanan akhir, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam carta pingat acara boling.
Natasha meluahkan rasa bangga terhadap komitmen rakan sepasukan, khususnya pemain muda Adania dan Hazirah yang bangkit cemerlang pada saat genting serta memainkan peranan penting dalam kejayaan pasukan.
Natasha mengakui sangat berbangga dengan rakan sepasukan, khususnya pemain muda Adania dan Hazirah, yang bangkit pada saat penting serta memainkan peranan besar dalam kejayaan pasukan.
“Perlawanan hari ini memang mencabar tetapi kerjasama berpasukan menjadi kunci kemenangan kami. Emas berpasukan ini sangat bermakna buat saya selepas perak individu, sebab ia hasil usaha dan semangat kami bersama.
“Saya gembira kerana keempat-empat kami berjuang habis-habisan dalam kedua-dua perlawanan, separuh akhir menentang Thailand dan perlawanan akhir menentang Indonesia,” katanya.
Sementara itu, skuad lelaki negara yang dibarisi Muhammad Syazirol Shamsudin, Muhammad Rafiq Ismail, Tun Ameerul Al Hakim Tun Hasnul Azam dan Fan Yew Tsen terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas tewas kepada Filipina 814–723 jatuhan pin pada aksi separuh akhir.
Secara keseluruhan, pasukan boling negara berjaya mengumpul dua pingat emas, satu perak dan empat gangsa, sekali gus melepasi sasaran awal dua emas yang ditetapkan oleh Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC).
Kejayaan cemerlang skuad negara pada Kejohanan Dunia sebelum ini turut menjadi suntikan moral berharga, sekali gus meningkatkan keyakinan pemain untuk mengharungi cabaran dan menawan pingat emas di pentas Sukan SEA Thailand.










