PUTRAJAYA: Sekretariat Orang Melayu (SOM) akan menganjurkan Konvensyen 153 di Kuala Lumpur, Sabtu ini.
Konvensyen julung kali anjuran SOM itu dijangka dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.
Perkara itu diumum Mahathir pada sidang akhbar di sini selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa SOM di sini, hari ini.
Dr. Mahathir berkata, konvensyen ini dianjurkan bagi memberi penerangan jelas mengenai kedudukan dan hak istimewa orang Melayu menerusi Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Saya dapati ada pihak yang menyoal kedudukan Perkara 153 dan kita perlu tafsir dan jelas mengenai perkara itu termasuk apakah boleh dilakukan di bawah 153 sama ada boleh diteruskan, dipinda ataupun ditambah,” katanya.
Katanya, beliau berharap akan ada satu keputusan dicapai pada konvensyen berkenaan.
Dr. Mahathir berkata, beliau menjemput semua pihak supaya dapat hadir konvensyen itu termasuk orang politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“UMNO pun boleh (dijemput hadir), siapa pun boleh hadir, kalau Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) nak datang pun boleh. Jemput lagi,” katanya.
Katanya, beliau turut menjemput bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk hadir konvensyen sama.
Jelasnya lagi, Tengku Zafrul mungkin boleh menjelaskan lagi isu berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai dengan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini. – UTUSAN







