LANGKAWI: Balai Seni Negara Cawangan Langkawi menganjurkan Program Sebab Boleh: Nat Ubah Suai, sebuah inisiatif berkonsep komuniti dan pameran interaktif yang berlangsung dari 25 hingga 27 Disember 2025 di Maha Tower, Langkawi, Kedah.
Program ini mengetengahkan konsep ‘Do-It-Yourself (DIY)’ sebagai medium eksplorasi kreativiti dan perkongsian idea secara terbuka, inklusif dan inovatif.
Program yang merupakan kerjasama bersama Maha Tower ini memberi tumpuan kepada budaya ubah suai merentas pelbagai disiplin, merangkumi mainan, fesyen, seni jalanan, automotif, kraf serta teknologi buatan sendiri.
Program Sebab Boleh: Nat Ubah Suai menawarkan sebanyak 15 reruai pameran dan jualan, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian pendekatan kreatif dalam ekosistem seni ubah suai tempatan.
Berbeza daripada konsep pasar konvensional, program ini bukan sekadar platform jual beli, malah turut menampilkan demonstrasi secara langsung, bengkel mini serta interaksi dua hala antara pengunjung dan penggiat seni.
Seramai 15 penggiat seni daripada pelbagai disiplin terlibat secara langsung, menjadikan pengalaman ini lebih menarik, sekali gus menyemarakkan semangat ‘bikin sendiri’ dan memupuk perkongsian ilmu dalam komuniti kreatif.
Antara penggiat seni yang terlibat ialah Muhammad Imran bin Qusyairi (Koyak Project Upcycle) yang menghasilkan jahitan beg daripada gegantung serta kain rentang terpakai; Mohd Syakir bin Shaiful Bahri (Muay Universal Studio) dengan penghasilan seni grafiti pada kasut; Suraizam binti Saad (Sue’s Collection Langkawi) yang menampilkan cetakan fabrik eco print berasaskan dedaun semula jadi; Syamel bin Saaidin (Mafia Corsa Speed) melalui pengubahsuaian mainan Tamiya; Wiwik Iswandari binti Sudirman dengan penghasilan produk serta aksesori daripada bahan kitar semula; serta Fariz Fahmi bin Daud (FFD Diecast Garage) yang menawarkan jualan produk mainan Hot Wheels.
Selain itu, turut mengambil bahagian ialah Razzatul Fatrah binti Mohd Hamdan (Artkak Tumbler) yang menghasilkan corak tumbler menggunakan teknik akrilik; Sofeea binti Md. Zulfadzli (Aneeka Studio) dengan penghasilan aksesori cincin daripada sudu; Abdul Razak bin Razali menghasilkan lukisan kartun potret secara langsung; Liew Chung Heng (Lasprecious) dengan penghasilan produk resin; Mohd Fadzil bin Mohd Lazim (Anjung Nilam Sari) yang menampilkan kraf tradisional seperti tanjak dan hulu keris; serta Zulfikri bin Mohd Haron (RBT Guru) mempamerkan produk elektronik.
Di samping itu, penyertaan turut melibatkan Muhammad Farhan bin Hussain (Gunplaterminal) yang mengetengahkan mainan Gundam; Rosnah Johar (DRL Leather Custom) melalui demonstrasi penghasilan produk kulit; serta Aizzy Elektronik yang menampilkan inovasi serta pelbagai produk elektronik dan mainan. Kepelbagaian latar belakang penggiat seni ini jelas mencerminkan kekayaan idea, tahap kreativiti yang tinggi serta potensi besar ekosistem seni ubah suai tempatan.
Penganjuran program ini turut dimeriahkan dengan penyertaan pengusaha makanan dan minuman tempatan seperti Kopi Halaman, Ritz Baker, Elbiyana Abu Bakar, BurnBakar Kitchen dan Liza’s Juice.
Bagi memperluas penglibatan orang ramai dalam program ini, Balai Seni Negara Cawangan Langkawi turut menganjurkan dua program sokongan iaitu Bengkel Seni Grafiti “Sebab Boleh” yang dikendalikan oleh Abdul Qoyyum Mohd Nadzri, serta Bengkel Seni Ubah Suai Tamiya oleh Syamsul Khaire Muda. Melalui bengkel ini, para peserta didedahkan kepada teknik penghasilan dan pengubahsuaian secara kreatif melalui pendekatan yang tersusun dan praktikal.
Program Sebab Boleh: Nat Ubah Suai hari ini dimulakan dengan sesi walkabout oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), DatUK Shaharuddin Abu Sohot, bagi meninjau pameran serta berinteraksi dengan penggiat seni dan agensi-agensi tempatan.
Turut hadir Ketua Pengarah Balai Seni Negara, ialah Amerrudin Ahmad, pegawai-pegawai kanan MOTAC, wakil jabatan dan agensi, rakan kerjasama, serta para penggiat seni.
Majlis perasmian program ini kemudian berlangsung di Balai Seni Negara Cawangan Langkawi, secara serentak dengan Program Langkawi International Marble Art Camp 2025 (LAIN MACAM 2025).
Penganjuran Program Sebab Boleh: Nat Ubah Suai ini mencerminkan komitmen berterusan Balai Seni Negara Cawangan Langkawi dalam memperkasa seni visual kontemporari, seni berteraskan komuniti serta budaya kreatif secara meluas.
Program ini bukan sahaja menyediakan platform bagi penggiat seni tempatan untuk berkarya dan berkongsi idea, malah turut membuka ruang bagi orang ramai untuk menghayati, menyertai aktiviti secara interaktif, serta memupuk semangat kreativiti dan inovasi, seterusnya membentuk masyarakat yang menghargai seni.
Untuk maklumat lanjut mengenai penganjuran program dan aktiviti, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara dan Balai Seni Negara Cawangan Langkawi atau layari www.artgallery.gov.my. – UTUSAN









