HULU TERENGGANU: Runtuhan susulan Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris berhampiran Sungai Deka Elephant Conservation Center di sini, mengesahkan bahawa laluan tersebut berisiko tinggi dan tidak selamat digunakan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Hanafiah Mat berkata, runtuhan susulan melibatkan hakisan tanah di tepi dan bawah struktur pembetung akibat aliran air deras semasa Musim Tengkujuh Laut (MTL) yang menjejaskan kestabilan tanah serta struktur saliran di lokasi berkenaan.
Beliau berkata, laluan itu telah diwartakan sebagai ditutup oleh Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) atas faktor keselamatan dan kekal ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan.
“Kejadian runtuhan susulan ini mengesahkan bahawa laluan tersebut berisiko tinggi dan tidak selamat untuk digunakan.
“Sehubungan itu, status penutupan jalan dikekalkan manakala Pelan Pengurusan Trafik (TMP), papan tanda amaran dan lencongan dipastikan berada dalam keadaan baik serta jelas. Pemantauan berterusan sedang dilaksanakan oleh JKR Daerah Hulu Terengganu bersama Roadcare (M) Sdn. Bhd. dari semasa ke semasa,” katanya.
Menurut Hanafiah, sebagai langkah penyelesaian, JKR Terengganu sebelum ini mengemukakan permohonan peruntukan kerja kecemasan kepada Kerajaan Persekutuan dengan anggaran kos berjumlah lebih kurang RM1.5 juta.
Katanya, ia melibatkan kerja pemasangan sheet pile dan pembinaan jalan lencongan sementara bagi memastikan keselamatan struktur jalan serta mengelakkan akses ke Santuari Gajah Sungai Deka terputus.
“Orang awam dinasihatkan supaya mematuhi sepenuhnya arahan penutupan, papan tanda amaran dan penghadang keselamatan serta tidak menggunakan laluan yang telah diwartakan tutup bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
“Pengguna jalan raya juga digalakkan merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif melalui Jerteh–Machang–Gua Musang atau Jerteh–Kuala Krai–Gua Musang, tertakluk kepada destinasi masing-masing,” katanya.
Terdahulu, Jalan Aring 8-Kenyir-Kuala Jeneris dilaporkan ditutup kepada semua kenderaan susulan tanah runtuh berhampiran Sungai Deka Elephant Conservation Center, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, kejadian difahamkan berlaku pada pukul 7 pagi membabitkan runtuhan di tepi dan bawah pembetung.
Menurutnya, runtuhan itu dikategori sebagai kritikal dan tidak selamat dilalui oleh semua kenderaan membabitkan kawasan sepanjang 40 meter (m) dan lebar 15 m.
“Kejadian berlaku akibat hakisan tanah di kawasan permukaan dinding culvert akibat arus deras air dan ia adalah satu-satunya jalan untuk ke Sungai Deka Elephant Conservation Center.
“Difahamkan, jalan ini digunakan untuk menghantar bekalan minyak bagi kegunaan generator elektrik dan sekiranya tidak dapat dilalui ia akan mengakibatkan generator berkenaan tidak dapat beroperasi,” katanya. – UTUSAN











