RIYADH: Cristiano Ronaldo terus membuktikan statusnya sebagai legenda bola sepak dunia apabila menjaringkan gol ke-40 bagi tahun ini untuk mendekatkan dirinya dengan impian mencipta 1,000 gol sepanjang karier.
Penyerang berusia 40 tahun itu mempamerkan ketajaman berbisa dengan meledak dua gol ketika membantu Al-Nassr menewaskan Al Akhdoud 3-0 dalam aksi Liga Pro Saudi, kelmarin.
Jaringan berganda berkenaan menyaksikan Ronaldo kini mengumpul keseluruhan 956 gol karier, sekali gus menegaskan konsistensi luar biasa yang jarang mampu ditandingi pemain lain.
Pencapaian tersebut mengundang pujian pengacara terkenal Britain, Piers Morgan, yang menyifatkan Ronaldo sebagai penjaring gol paling hebat dan konsisten dalam sejarah bola sepak dunia.
Ronaldo turut berkongsi kegembiraannya di laman X kepada lebih 105 juta pengikutnya bahawa usahanya selama ini hamper membuahkan hasil.
“Kerja keras adalah jalan menuju kejayaan,” kata Ronaldo dalam laman sosial X miliknya.
Bekas bintang Real Madrid dan Manchester United itu kini merekodkan lebih 40 gol dalam 14 tahun kalendar berbeza, dengan pencapaian terbaiknya dicatat pada 2013 apabila meledak 63 gol dalam semua pertandingan.
Di sebalik kejayaan berterusan itu, disiplin kecergasan ketat termasuk latihan fizikal berjam-jam setiap hari serta amalan pemakanan enam hidangan kecil menjadi rahsia utama ketahanan fizikal Ronaldo.
Buat masa ini, Ronaldo kekal sebagai nadi utama Al-Nassr dengan rekod 12 gol daripada sembilan perlawanan musim ini untuk membantu pasukannya mengungguli carta liga sambil terus menyimpan impian menjulang Piala Dunia bersama Portugal. – AGENSI










