PSM mahu Sepak Takraw lebih majmuk

PSM mahu Sepak Takraw lebih majmuk

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan melihat aksi para peserta pada Kursus Latihan Asas Sukan Sepak Takraw, di SJKC Kwong Hon, Sungai Besi, di sini hari ini.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menyasarkan wajah baharu skuad kebangsaan dengan penyertaan lebih luas daripada pelbagai kaum, sekali gus memecahkan persepsi bahawa sukan tradisi itu hanya dikuasai satu kelompok masyarakat.

Presidennya, Datuk Sumali Reduan berkata, PSM mahu meniru kejayaan badminton yang terbukti menjadi sukan penyatu rakyat Malaysia, dengan memperluaskan pencarian bakat dalam kalangan Cina, India dan komuniti Orang Asli di seluruh negara.

Menurutnya, usaha memasyarakatkan sukan itu selaras dengan agenda Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memperkukuh kelompok bakat muda tanah air.

“Hasrat kami jelas, kami mahu melihat takraw dimainkan semua kaum, dan menjadi pentas perpaduan yang sebenar.

“Saya bayangkan suasana stadium yang riuh dengan 2,000 hingga 5,000 penyokong dari Melayu, Cina dan India bersorak seirama.

“Malah, saya impikan satu hari nanti tekong Malaysia mungkin daripada kaum India, killer pula Melayu dan feeder daripada kaum lain. 

“Barulah bakat kita betul-betul berkembang,” katanya selepas merasmikan Kursus Latihan Asas Sukan (KLAS) Sepaktakraw Perpaduan Kaum di SJKC Kwong Hon, Sungai Besi.

Sumali bagaimanapun mengingatkan, program pengenalan semata-mata tidak mencukupi jika tiada kesinambungan latihan di peringkat akar umbi.

Sehubungan itu, beliau berharap KBS dapat mempertimbangkan penyediaan peralatan asas, termasuk sebiji bola untuk setiap peserta berbakat agar mereka dapat meneruskan latihan secara konsisten di rumah.

“Latihan dua atau tiga jam tidak akan ke mana kalau tiada susulan. Jika pelajar yang dilihat berpotensi dibekalkan sebiji bola pun sudah cukup untuk mereka biasakan diri menimang dan membina kemahiran,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN