PETALING JAYA: Pembedahan pemindahan hati ke atas seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang menerima derma organ daripada ibu kandungnya sendiri berjaya dilaksanakan oleh pasukan multidisiplin Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 25 November lalu.
PPUM dalam kenyataan memaklumkan, bayi seberat 6.2 kilogram (kg) itu direkodkan sebagai penerima pemindahan hati paling muda dan paling ringan pernah dilakukan di Malaysia, sekali gus mencipta pencapaian baharu dalam rawatan pemindahan organ pediatrik negara.
Pakar Bedah Hepatobiliari PPUM, Prof. Madya Dr. Koh Peng Soon berkata, kes berkenaan menuntut tahap koordinasi tinggi antara pelbagai disiplin perubatan kerana melibatkan pesakit pediatrik dalam keadaan pra-pembedahan yang amat kritikal.
“Kes ini sememangnya mencabar bukan sahaja kerana saiz pesakit, tetapi juga komplikasi jantung yang berlaku sejurus sebelum pembedahan. Ia membuktikan bahawa dengan kerjasama pasukan yang jitu dan keputusan klinikal yang pantas, kita mampu melakukan yang terbaik demi nyawa pesakit,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan itu turut menjadi penanda aras baharu keupayaan sistem kesihatan Malaysia dalam mengendalikan kes pemindahan organ pediatrik yang kompleks serta memberi sinar harapan kepada keluarga lain yang berdepan situasi serupa.
Menurut PPUM, pesakit berkenaan mengalami kegagalan fungsi hati fulminan yang berlaku secara tiba-tiba tanpa punca dikenal pasti menyebabkan keadaannya merosot dengan cepat sehingga memerlukan pemindahan hati sebagai satu-satunya pilihan untuk terus hidup.
“Namun, kes menjadi lebih mencabar apabila bayi tersebut mengalami komplikasi serius dan tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) sejurus sebelum pembedahan dijalankan, sekali gus memaksa pasukan perubatan menilai semula risiko serta membuat keputusan kritikal dalam tempoh singkat.
“Pembedahan pengambilan organ daripada penderma (ibu) dihentikan serta-merta, manakala pasukan PICU menjalankan usaha resusitasi intensif selama lebih satu jam bagi menstabilkan keadaan pesakit dan prosedur pemindahan berjaya diteruskan,” katanya.
Yayasan CCEP turut menghulurkan bantuan kewangan bagi menampung kos pembedahan yang tinggi bagi memastikan rawatan penyelamat nyawa ini dapat direalisasikan tanpa halangan kewangan. – UTUSAN










