BANGKOK: Pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Nafuzi Zain menyifatkan kisah perjuangan anak buahnya di Sukan SEA Thailand 2025 sarat dengan kisah suka dan duka yang boleh dibukukan.
Pengendali berusia 45 tahun itu berkata, dari awal persiapan hingga meraih pingat gangsa, skuad kendaliannya tidak pernah cukup, ada yang masuk, ada yang keluar, ada yang digantung dan ada yang cedera.
“Kalau ikutkan cerita Sukan SEA ini dari awal persediaan sampai sekarang, kita boleh buat satu buku. Sehingga ke perlawanan terakhir, kita seolah-olah berperang. Ada pemain yang bertongkat, berbalut bahu.
“Itu semua adalah pengorbanan dan satu perjuangan untuk negara yang saya rasa kita patut bangga,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan tempat ketiga di Stadium Nasional Rajamangala di sini, kelmarin.
Skuad Harimau Muda melakar kemenangan 2-1 ke atas untuk merangkul pingat gangsa, sekali gus menamatkan kemarau pingat Malaysia dalam acara bola sepak lelaki di pentas Sukan SEA selepas lapan tahun.
Dalam aksi itu, Malaysia membuka tirai jaringan pada minit ke-28 menerusi Danish Hakimi Sahaludin sebelum Filipina menyamakan kedudukan hasil gol sendiri Muhammad Haqimi Azim Rosli pada minit ke-36, namun pemain itu menebus kesilapannya dengan meledak gol kemenangan pada minit ke-43.
Kejayaan itu menyaksikan skuad Harimau Muda kembali menaiki podium buat pertama kali sejak meraih perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, sekali gus menebus kekecewaan tersingkir tanpa pingat pada tiga edisi terdahulu.
Mengulas kejayaan meraih gangsa, Nafuzi berkata, itu semua adalah hasil kepercayaan yang diberikan kepada pemain selepas skuad B-23 berdepan kegagalan dalam dua kejohanan terdahulu.
“Ini sebenarnya adalah tu proses, kita juga kena fikir tentang peningkatan prestasi pasukan-pasukan lain dalam kejohanan yang sebelum ini dan semua itu saya anggap sebagai proses dan sekarang kita mampu membentuk pasukan yang baik,” katanya.
Menurut Nafuzi antara faktor kejayaan meraih gangsa di temasya dwitahunan itu ialah para pemain menunjukkan semangat setia kawan yang tinggi dalam menghadapi kekurangan pasukan sepanjang kempen di sini.
“Saya begitu bangga dengan mereka kerana semangat juang yang ditunjukkan sangat tinggi dari segi kerja berpasukan dan hubungan seperti keluarga. Walaupun kita kurang pemain, itu yang membuatkan kita boleh tolong-menolong satu sama lain,” katanya.
Pencapaian bola sepak Malaysia di Sukan SEA tidak begitu membanggakan dengan edisi 2023 di Kemboja menyaksikan skuada B-23 gagal melepasi peringkat kumpulan, manakala di edisi 2021 di Vietnam, mereka hanya mampu berpuas hati dengan kedudukan keempat.
Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas ialah pada Sukan SEA 2011 di Indonesia, menewaskan tuan rumah menerusi penentuan sepakan penalti.-UTUSAN










