TANAH MERAH: Impian murni seorang pelajar pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) untuk membawa ibu dan bapanya menunai umrah tahun depan tidak kesampaian apabila dia maut
selepas kereta yang dia pandu terbabas ke dalam sebuah tasik di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli dekat sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, Muhammad Amidee Abdullah, 25, yang memandu kereta jenis Perodua Axia disahkan meninggal dunia akibat lemas di dalam tasik tersebut manakala rakannya sempat menyelamatkan diri.
Ibu mangsa, Saidah Sulaiman, 51, berkata, Muhammad Amidee yang melanjutkan pengajian PhD Mineralogi di Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi UMK berjanji membawanya bersama suami menunaikan umrah selepas lepas tamat pengajian pada tahun depan.
“Arwah merupakan anak yang baik dan pintar. Disebabkan itu, dia boleh melanjutkan pengajian ke peringkat PhD secara ‘fast track’ selepas tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda di UMK.
“Selain berhasrat hantar saya dan suami, Abdullah Mokhtar, 59, menunaikan umrah, arwah juga berhasrat untuk baiki rumah kami sebaik tamat pengajian,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Pondok Hidayah, di sini hari ini.
Saidah berkata, sebelum keluar dari rumah untuk ke UMK Jeli pagi semalam, arwah yang merupakan anak ketujuh daripada lapan beradik itu sempat mencium dan bersalam dengannya.
Katanya, dia terkejut apabila panggilan kira-kira pukul 6.50 petang yang memaklumkan kemalangan yang menimpa Muhammad Amidee.
“Saya hampir pitam menerima berita itu. Saya dan suami segera ke lokasi kejadian sebelum turut bergegas ke Hospital Jeli.
“Arwah sering mengurut badan saya semasa di rumah. Banyak kenangan kami bersama, namun saya perlu reda dengan ujian ini,” katanya.
Jenazah Muhammad Amidee selamat dikebumikan kira-kira 11.30 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chawas di sini hari ini.
Terdahulu, seorang pelajar peringkat pengajian Doktor Falsafah (PhD) dilaporkan maut manakala rakannya terselamat selepas kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas ke dalam sebuah tasik di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli di sini petang tadi.
Dalam kejadian pukul 6.20 petang itu, Muhammad Amidee Abdullah,25, yang memandu kereta berkenaan maut di lokasi sementara rakannya berjaya keluar menyelamatkan diri. – UTUSAN










