Pearly-Thinaah, Tang Jie-Ee Wei bermula langkah kanan di WTF

Pearly-Thinaah, Tang Jie-Ee Wei bermula langkah kanan di WTF

Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan pertama bakal berdepan beregu No. 6 dunia, Rin Iwanaga-K. Nakanishi dari Jepun bagi mencari slot awal ke separuh akhir, sebelum menutup saingan Kumpulan A bertemu pasangan No. 5 dunia, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto juga dari Jepun pada esok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemenang pingat emas Sukan SEA 2025, Pearly Tan-M. Thinaah memulakan aksi mereka dengan langkah kanan selepas membenam beregu No. 4 dunia, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian dalam saingan Kumpulan A pada Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) di Hangzhou, China, hari ini.

Pasangan No. 2 dunia itu beraksi cukup cemerlang apabila melakar kemenangan straight set ke atas beregu handalan tuan rumah tersebut 21-17, 21-11 dalam masa 46 minit.

Kemenangan itu amat bermakna buat Pearly-Thinaah yang memiliki rekod buruk setiap kali berdepan Yi Fan-Shu Xian apabila mereka kini merapatkan jurang rekod pertemuan kepada 2-5.

Kali terakhir beregu wanita No. 1 Malaysia itu mengukir kejayaan ke atas Yi Fan-Shu Xian adalah pada Terbuka India, awal tahun ini, namun begitu, kemenangan tersebut dilakar hasil kemenangan percuma selepas gandingan China berkenaan menarik diri akibat kecederaan.

Esok, Pearly-Thinaah yang diletakkan sebagai pilihan pertama bakal berdepan beregu No. 6 dunia, Rin Iwanaga-K. Nakanishi dari Jepun bagi mencari slot awal ke separuh akhir, sebelum menutup saingan Kumpulan A bertemu pasangan No. 5 dunia, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto juga dari Jepun.

Sementara itu, dalam aksi beregu campuran Kumpulan B, pertembungan sesama sendiri wakil negara berkesudahan gandingan No. 4 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menewaskan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang menghuni ranking No. 9 dunia 21-13, 21-13 dalam masa 41 minit.

Dalam aksi seterusnya, esok, juara dunia tersebut akan menentang pasangan No. 10 dunia, Jafar Hidyatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu dari Indonesia, sebelum berdepan gandingan No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Bagi Sooh Huat-Shevon pula, mereka tidak mempunyai pilihan melainkan memburu kemenangan ke atas Yang Zhe-Dong Ping, esok, jika berhasrat menghidupkan peluang mara ke separuh akhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN