PETALING JAYA: Beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah sekali lagi bakal berdepan pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto pada separuh akhir Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou, China, hari ini.
Fukushima-Matsumoto yang merupakan gandingan No. 5 dunia diletakkan dalam kumpulan sama dengan Pearly-Thinaah sewaktu pusingan round robin.
Kedua-dua beregu baru sahaja bertembung di antara sama lain dalam aksi terakhir Kumpulan A yang berkesudahan Pearly-Thinaah tewas tipis kepada Fukushima-Matsumoto 15-21, 21-16, 19-21 dalam masa 1 jam 21 minit, semalam.
Bagaimanapun, kekalahan tersebut tidak menggugat beregu negara itu daripada menjuarai Kumpulan A dan selepas undian semula dilaksanakan, sebentar tadi, Pearly-Thinaah dan Fukushima-Matsumoto dijadual bertemu lagi di separuh akhir.
Rekod pertemuan kedua-dua beregu masih berpihak kepada Pearly-Thinaah 5-2 yang diletakkan sebagai pilihan pertama berdasarkan ranking WTF.
Kemaraan gandingan No. 1 Malaysia itu ke separuh akhir juga merupakan kali pertama dilakar sepanjang karier mereka dan Pearly-Thinaah turut muncul satu-satunya beregu wanita negara yang berjaya berbuat demikian sejak WTF diperkenalkan pada 2018.
Sementara itu, dalam saingan beregu campuran, juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dijadual bertemu pasangan tuan rumah, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin yang menghuni ranking No. 2 dunia di peringkat kalah mati.
Tang Jie-Ee Wei yang berada di ranking No. 4 dunia merupakan naib juara Kumpulan B di belakang jaguh No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China.
Pertembungan Tang Jie-Ee Wei dengan Zhen Bang-Ya Xin, mengulangi aksi final kedua-dua beregu itu pada Kejohanan Dunia di Paris, Ogos lalu.
Dengan rekod pertemuan 2-4 berpihak kepada beregu tuan rumah tersebut, Tang Jie-Ee Wei yang mara ke separuh akhir buat kali kedua berturut-turut menggalas tugas berat untuk mengulangi kecemerlangan di Paris. – UTUSAN










