PETALING JAYA: Beregu badminton wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah menamatkan kemarau pingat emas selama 10 tahun selepas membenam Febriana DwipujI Kesuma-Meilysa Trias Puspitasari dalam perlawanan akhir individu pada Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand, hari ini.
Pasangan No. 2 dunia itu, bagaimanapun, terpaksa mengambil masa selama 1 jam 26 minit sebelum beroleh kemenangan ke atas beregu No. 59 dunia 21-16, 19-21, 21-17.
Kemenangan tersebut menyaksikan Pearly-Thinaah kini melebarkan rekod pertemuan ke atas Febriana-Meilysa kepada 4-0.
Kali terakhir Malaysia membawa pulang pingat emas dalam acara beregu wanita dalam temasya dwi tahunan itu ialah menerusi Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho pada 2015.
Kejayaan Pearly-Thinaah itu juga menepati sasaran yang diletakkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan sekali gus memecah kebuntuan pingat emas selepas acara berpasukan lelaki serta beregu campuran, Cheng TangJie-Toh Ee Wei gagal dalam misi masing-masing.
BAM yang menyasarkan empat pingat emas, gagal dalam misi tersebut selepas acara berpasukan lelaki sekadar menggondol pingat perak, manakala, juara dunia, Tang Jie-Ee Wei memenangi gangsa bagi acara individu.
Beregu lelaki No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berpeluang menokok emas kedua Malaysia, apabila mereka dijadual berdepan pasangan No. 8 dunia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia, sebentar lagi. – UTUSAN










