PETALING JAYA: Ratu boling negara, Natasha Mohamed Roslan terpaksa berpuas hati meraih pingat perak acara perseorangan wanita Sukan SEA 2025 selepas tewas kepada wakil Singapura di Blu-O Rhythm Bowl, Bangkok hari ini.
Pada perlawanan akhir itu, juara dunia 2025 itu terpaksa menelan pahit apabila berhasil mengutip 191 jatuhan pin kepada Charmaine Chang yang berhasil mencatat 234 jatuhan pin.
Seorang lagi wakil negara, Adania Mohd Redzwan terkandas di aksi suku akhir selepas tewas kepada pemain Indonesia, Sharon Adelina Liman Santoso 183-212 jatuhan pin.
Semalam, Muhammad Syazirol Shamsudin menyumbang gangsa dalam acara perseorangan lelaki selepas tewas kepada pemain tuan rumah, Napat Buspanikonkul selepas hanya dibezakan dengan satu jatuhan pin. – UTUSAN










