MommyHana Safee Sali Superkids Cup 2025 fokus pembangunan akar umbi

MommyHana Safee Sali Superkids Cup 2025 fokus pembangunan akar umbi

SAFEE Sali (kiri) ketika sidang media penganjuran MommyHana Safee Sali Superkids Cup 2025, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali meneruskan komitmennya dalam pembangunan bola sepak akar umbi menerusi penganjuran MommyHana Safee Sali Superkids Cup 2025 yang dijadual berlangsung pada 27 Disember ini di Stadium Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Perdana.

Kejohanan edisi sulung itu dianjurkan berkonsepkan karnival keluarga, sekali gus menyediakan platform terbaik buat kanak-kanak untuk belajar, bersaing dan menikmati sukan bola sepak dalam suasana yang santai serta menyeronokkan.

Safee berkata, kerjasama bersama syarikat jenama produk kanak-kanak, MommyHana tercetus hasil keserasian visi kedua-dua pihak dalam memperkasa pembangunan kanak-kanak di peringkat komuniti melalui sukan.

Jelasnya, penganjuran kejohanan itu merupakan kesinambungan kepada kejayaan Piala Super Safee Serenia sebelum ini, yang mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti bola sepak akar umbi.

“Alhamdulillah, niat saya untuk kembali mencurahkan ilmu dan pengalaman kepada akar umbi seiring dengan matlamat MommyHana. Daripada situ terjalin kerjasama ini dengan fokus utama kepada pembangunan bola sepak peringkat awal.

“MommyHana Safee Sali Superkids Cup 2025 direka sebagai platform untuk kanak-kanak bersaing, belajar, menikmati bola sepak serta merasai suasana karnival sebenar bersama keluarga.

“Ini adalah kesinambungan daripada apa yang kami bina menerusi Super Safee Serenia Cup dan ia satu ruang untuk kanak-kanak membina keyakinan sambil berseronok,,” kata Safee.

Menurut Safee, sebanyak 32 pasukan telah mengesahkan penyertaan melibatkan empat kategori umur iaitu Bawah 8, Bawah 10, Bawah 12 dan Bawah 14 tahun, dengan lapan pasukan bagi setiap kategori, selain beberapa pasukan lain yang kini berada dalam senarai menunggu.

“Semua slot telah penuh dan masih ada pasukan dalam senarai menunggu. Kami mahu memastikan hanya pasukan yang benar-benar komited diberikan peluang untuk bertanding,” jelasnya.

Kejohanan tersebut dijangka menarik kehadiran lebih 2,000 pengunjung pada satu-satu masa, sekali gus menghidupkan suasana karnival bola sepak, dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai kira-kira RM5,200 termasuk piala, pingat, anugerah pemain terbaik (MVP) serta baucar wang tunai.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN