PETALING JAYA: Malaysia kini tidak mempunyai pilihan melainkan menamatkan aksi di kedudukan lima terbaik selepas mempersiakan peluang mara ke separuh akhir pada Piala Dunia Skuasy SDAT 2025 di Chennai, India, semalam.
Tewas tipis kepada Jepun menerusi kiraan set selepas diikat dengan keputusan 2-2, telah menyebabkan skuad kebangsaan gagal mara ke separuh akhir, hari ini.
Aifa Azman yang menjadi pemain pertama masuk ke gelanggang dipaksa bekerja keras sebelum beroleh kemenangan ke atas Akari Midorikawa 7-1, 7-5, 5-7, 5-7, 7-4 dalam masa 30 minit.
Kemenangan itu, bagaimanapun, gagal diteruskan perseorangan lelaki negara, C. Ameeshenraj yang tewas di tangan Ryunosuke Tsukue 3-7, 6-7, 7-4, 7-2, 4-7 dalam masa 40 minit yang sekali gus membuka laluan kepada Jepun mengikat kedudukan menjadi 1-1.
Jepun yang diperkuatkan dengan bintang No. 6 dunia, Satomi Watanabe meletakkan pasukan negaranya mendahului Malaysia 2-1 selepas Aira Azman akur dengan kekalahan 2-7, 4-7, 4-7 dalam masa 15 minit.
Mohammad Syafiq Mohd Kamal yang turun sebagai pemain terakhir Malaysia tidak mampu membantu kemenangan skuad negara, walaupun dia menang ke atas Tomotaka Endo 7-6, 7-4, 3-7, 7-3 dalam masa 29 minit untuk mengikat Jepun 2-2.
Kegagalan itu telah membawa Malaysia bertemu Switzerland bermain dalam perlawanan penentuan ranking 1-8, hari ini yang berkesudahan skuad kebangsaan menang 3-1.
Malaysia, bagaimanapun, membuka aksi dengan kekalahan apabila Syafiq yang turun selaku perseorangan pertama tewas kepada Robin Gadola 6-7, 7-5, 7-6, 5-7, 2-7 dalam masa 42 minit.
Pemain No. 24 dunia, Aira yang turun selaku pemain kedua mengikat Switzerland 1-1 selepas mudah membenam Celine Walser 7-1, 7-2, 7-4 dalam masa 13 minit.
Ameeshenraj yang beraksi sejurus selepas itu mengalahkan Louai Hafez 7-2, 7-3, 7-1 dalam masa 22 minit untuk memastikan Malaysia mendahului 2-1.
Aifa yang tidak berdepan masalah mengetepikan Stella Kaufmann 7-1, 7-1, 7-0 hanya dalam masa 11 minit, memastikan kejayaan 3-1 menjadi milik Malaysia.
Kemenangan tersebut bakal menemukan skuad negara sama ada bertemu Australia atau Afrika Selatan bagi memuktamadkan penentuan ranking 5/6, esok. – UTUSAN










