Malaysia mara ke suku akhir

Malaysia mara ke suku akhir

Mohammad Syafiq memastikan Malaysia mengutip mata pertama sewaktu berdepan Dylan Molinaro dalam aksi terakhir Kumpulan C pada Piala Dunia Skuasy SDAT di Chennai, India, hari ini. - Gambar WSF Squash
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mara ke suku akhir selepas membenam Australia 3-1 dan sekali gus, menjuarai Kumpulan C pada Piala Dunia Skuasy SDAT 2025 di Chennai, India, hari ini.

Pemain perseorangan lelaki negara, Mohammad Syafiq Mohd Kamal yang turun terlebih dahulu ke gelanggang menghadiahkan mata pertama buat Malaysia selepas menewaskan Dylan Molinaro 7-4, 6-7, 7-6, 7-4 dalam masa 29 minit.

Pemain perseorangan wanita No. 24 dunia, Aira Azman memastikan kemenangan kedua menjadi milik Malaysia setelah mengetepikan Jessica Turnbull 7-2, 7-4, 7-3 dalam masa 15 minit.

Bagaimanapun, Australia berjaya bangkit merapatkan jurang menjadi 2-1 apabila C. Ameeshenraj terpaksa akur kepada Joseph White menerusi kekalahan 5-7, 5-7, 7-3, 4-7 dalam masa 36 minit.

Pemain No. 33 dunia, Aifa Azman yang turun selaku wakil terakhir negara tanpa belas kasihan memastikan kemenangan menjadi milik Malaysia selepas dia hanya mengambil masa selama 10 minit menumpaskan Madison Lyon 7-0, 7-0, 7-0.

Kemenangan 3-1 yang dilakar ke atas Australia memastikan skuad kebangsaan yang memegang status sebagai pilihan ketiga mengesahkan tempat ke suku akhir, esok.

Lawan yang bakal ditentang Malaysia adalah naib juara Kumpulan D yang masih belum dimuktamadkan lagi sama ada Jepun ataupun Mesir.

Jepun yang diperkuatkan dengan kehadiran bintang No. 6 dunia, Satomi Watanabe diletakkan sebagai pilihan keempat.

Sementara Mesir pula yang tidak mempertaruhkan bintang-bintang berkelas dunia dan hanya membariskan pemain kurang ternama seperti pemain ke-43 dunia, Nardine Garas serta Nour Heikal yang menghuni ranking ke-44 dunia tidak diletakkan sebagai pasukan pilihan.

Siapapun lawan antara kedua-dua negara tersebut yang bakal ditemui Malaysia, cabaran mereka tidak harus diambil mudah kerana masing-masing memiliki kelebihan jika ranking dunia diambil kira. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN