PETALING JAYA: Skuad kebangsaan membuka aksi pada Piala Dunia Skuasy SDAT 2025 dengan kemenangan mutlak selepas mudah membenam Poland 4-0 dalam perlawanan Kumpulan C di Chennai, India, semalam.
Malaysia yang diletakkan sebagai pilihan ketiga mempertaruhkan Aifa Azman sebagai perseorangan pertama dan pemain yang menghuni ranking ke-33 dunia itu hanya mengambil masa selama 14 minit untuk membenam Sofia Zrazhevska 7-4, 7-2, 7-1.
Perseorangan lelaki negara, C. Ameeshanraj yang turun selaku pemain kedua pada kejohanan dunia berpasukan campuran itu meletakkan Malaysia mendahului 2-0 selepas menundukkan Jan Samborski 7-1, 7-5, 7-1 dalam masa 22 minit.
Aira Azman yang menghuni ranking No. 24 dunia memastikan skuad negara mengutip mata ketiga selepas dia mengetepikan Karina Tyma 7-4, 7-5, 7-4 dalam masa 18 minit di gelanggang kaca Akademi Skuasy & Triathlon India.
Pemain berpengalaman negara, Mohammad Syafiq Mohd Kamal yang turun selaku perseorangan terakhir turut tidak berdepan masalah menewaskan Kajetan Lipski 7-5, 7-3, 7-2 dalam masa 20 minit.
Persembahan mantap yang dipamerkan barisan pemain negara itu menyaksikan mereka kini mengungguli Kumpulan C selepas mengumpul empat mata tanpa melepaskan walau satu set.
Australia yang menewaskan Poland 3-1, kelmarin, menghuni tangga kedua dengan tiga mata, manakala, Poland di kedudukan tercorot selepas tewas dalam kesemua perlawanan peringkat kumpulan.
Hari ini, Malaysia akan bertemu Australia bagi mencari tempat ke suku akhir selaku juara Kumpulan C.
Selain skuad kebangsaan, turut beraksi pada Piala Dunia itu ialah Hong Kong yang diletakkan sebagai pilihan pertama, manakala, India selaku kedua, pilihan keempat, Jepun, Mesir dan juga Korea Selatan. – UTUSAN










