PETALING JAYA: Majlis serah tugas Menteri Belia dan Sukan Malaysia berlangsung meriah di Bangkok bersempena penyertaan kontinjen negara pada Temasya Sukan SEA Ke-33.
Mantan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menyerahkan tanggungjawab secara rasmi kepada Menteri Belia dan Sukan baharu, Dr. Mohammed Taufiq Johari, dalam satu majlis yang dihadiri pegawai kanan kementerian dan wakil kontinjen.
Menerusi kenyataan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Hannah menghargai semua pemegang taruh dan sokongan atas perkhidmatan beliau selama ini.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kementerian Belia dan Sukan, agensi di bawah kementerian serta pemegang taruh atas kerjasama dan sokongan sepanjang tempoh perkhidmatan saya.
“Saya yakin kepimpinan baharu kementerian mampu meneruskan agenda pembangunan belia dan sukan negara dengan lebih mantap,” kata Hannah menerusi kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Dr. Mohammed Taufiq Johari menzahirkan komitmen meneruskan kesinambungan dasar dan program kementerian termasuk menekankan kebajikan atlet serta memperkasa hal ehwal pembangunan belia.
Majlis serah tugas itu diadakan susulan rombakan Jemaah Menteri yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Disember lalu, yang menyaksikan Hannah Yeoh dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Majlis tersebut disaksikan oleh Ketua Setiausaha KBS, Datuk Nagulendran Kangayatkarasu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Norza Zakaria serta wakil kontinjen Malaysia yang berada di Bangkok sempena temasya sukan berkenaan. – UTUSAN










