BANGKOK: Kuartet 4×100 meter (m) negara berjaya memecahkan rekod kebangsaan ketika meraih perak dalam aksi final Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Nasional Supachalasai, sebentar tadi.
Skuad negara yang dianggotai Aliff Iman Mohd Fahimi, Jonathan Nyepa, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee mencatat masa 39.03 saat (s) untuk meraih pingat perak.
Sementara itu Thailand yang diwakili Puripol Boonson, Thawatchai Himaiad, Cyhayut Khongprasit, dan Soraoat Dapbang meraih emas dengan catatan 38.28s, manakala gangsa milik kuartet, Indonesia.
Rekod kebangsaan dalam acara 4x100m sebelum ini adalah 39.09s yang dilakukan sewaktu kuartet negara merangkul pingat perak di Sukan SEA Hanoi di Vietnam pada 2022.
Pelari senior negara, Jonathan Nyepa mengakui strategi utama mereka adalah untuk memberikan tekanan maksimum kepada Thailand sejak awal perlumbaan selain memastikan pertukaran baton berjalan lancar.
Jelas Jonathan, catatan masa itu sesuatu yang mengejutkan kerana mereka tidak pernah mencatat larian selaju itu walaupun dalam sesi latihan.
“Sebelum memulakan larian, saya sudah berpesan kepada rakan sepasukan supaya jangan beri mereka (Thailand) ruang untuk selesa. Kita cuba berikan saingan sehabis baik. Kita tahu mereka mempunyai barisan pelari yang sangat bagus, jadi kita perlu menekan mereka dari awal,” katanya.
Strategi itu membuahkan hasil apabila pelari pertama, Aliff Iman yang membuat penampilan sulung di Sukan SEA, berjaya memberikan permulaan yang cemerlang.
“Sebagai pelari pertama, saya tahu semua pesaing berada di belakang saya. Apa yang boleh saya buat adalah terus lari habis-habisan. Ini penampilan pertama saya, dan saya bersyukur berjaya bawa pulang pingat serta rekod kebangsaan untuk Malaysia,” kata Aliff.
Semangat itu diteruskan oleh pelari terakhir, Danish Iftikhar yang tenang menyempurnakan larian ke garisan penamat.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur diberi peluang untuk berganding dengan senior-senior dalam pasukan. Misi kami tercapai untuk memecahkan rekod kebangsaan,” ujar Danish.-UTUSAN










