KUALA LUMPUR: Hasrat Kuching City FC untuk terus mencengkam kedudukan selesa di tangga kedua Liga Super tidak kesampaian apabila sekadar terikat 1-1 menentang KL City FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan kini mengumpul 25 mata, namun Kuching City kekal di tempat kedua hasil kelebihan perbezaan jaringan, manakala KL City terus memberi tekanan rapat dalam persaingan kelompok atasan liga.
Skuad pelawat terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-31 apabila Ronald Ngah Wanja tenang menyudahkan hantaran kemas Ramadhan Saifullah Usman, sekali gus mengejutkan penyokong tuan rumah.
Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila KL City bangkit di penghujung babak pertama menerusi sentuhan berbisa Safawi Rasid yang melepaskan rembatan tepat untuk gol penyamaan, menghidupkan kembali tempo perlawanan.
Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun ketumpulan jentera penyudah memaksa aksi berakhir tanpa sebarang jaringan tambahan, sekali gus memuktamadkan keputusan seri.
Selepas ini, KL City dijadual menerima kunjungan Imigresen FC di Cheras, manakala Kuching City berdepan ujian getir apabila bertandang menentang Terengganu FC, The Real Warriors (TRW), dalam misi memburu tiga mata penuh.-UTUSAN










