GEORGE TOWN: Kerajaan negeri mahu orang ramai termasuk persatuan profesional memberi pandangan dalam Program Publisiti dan Penyertaan Awam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) 2040 (Kajian Semula) khususnya berkaitan dasar pembangunan cerun.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sesi publisiti itu membuka ruang kepada semua pihak termasuk individu, komuniti, pertubuhan, sektor swasta dan badan profesional untuk menyuarakan pandangan mereka mengenai hala tuju pembangunan negeri serta pembangunan cerun.
“Inilah tujuan program publisiti dan penyertaan awam diadakan iaitu untuk memberi penerangan mengenai cadangan-cadangan dalam RSNPP 2040 yang akan dikaji semula setiap 10 tahun sekali.
“Kita ambil maklum semua cadangan atau pandangan yang dikemukakan oleh rakyat, pertubuhan dan pihak berkepentingan. Inilah masanya untuk menyuarakan pendapat terhadap masa depan negeri,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan kewangan Tabung Amanah/Peruntukan Khas Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI), hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye berkata, antara aspek utama yang dinilai semula dalam RSN Pulau Pinang 2040 (Kajian Semula) ialah dasar pembangunan cerun.
Sebelum ini, pembangunan di kawasan cerun yang melebihi aras 76 meter dari paras laut tidak dibenarkan, namun kini dibuka untuk penelitian semula berdasarkan input teknikal.
Susulan itu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menyifatkan langkah kerajaan negeri mempertimbangkan perubahan terhadap dasar pembangunan cerun bukit sebagai tindakan tidak bijak dan boleh mengundang risiko keselamatan lebih besar pada masa depan.
Mengulas mengenai gesaan pihak tertentu yang membantah cadangan mengkaji semula dasar pembangunan cerun, Kon Yeow berkata, pihak kerajaan mahu mendapatkan justifikasi teknikal yang lebih kukuh mengenai paras ketinggian yang dibenarkan.
Beliau berkata, ini kerana garis panduan sedia ada yang menetapkan had pembangunan pada 76 meter atau 250 kaki dari paras laut telah ditetapkan sejak puluhan tahun lalu tanpa rekod jelas bagaimana ia ditentukan.
“Kita tidak mendapat apa justifikasinya paras itu ditetapkan. Negeri lain seperti Wilayah Persekutuan menggunakan had 500 kaki. Maka, sesi publisiti adalah ruang untuk pihak berkepentingan termasuk institut jurutera, persatuan arkitek, dan persatuan perancangan bandar memberi pandangan berdasarkan kepakaran masing-masing,” katanya.
Kon Yeow berkata, pembangunan di kawasan cerun bukanlah sesuatu yang baharu di negeri ini kerana projek-projek infrastruktur tertentu melebihi had ketinggian itu pernah dibenarkan sebelum ini, namun ia tertakluk kepada syarat ketat.
“Kalau sebuah lebuh raya boleh dibenarkan, kita kena lihat juga rasionalnya jika dibandingkan dengan pembangunan lain seperti perumahan. Soal ini memerlukan pandangan teknikal yang mendalam,” katanya. – UTUSAN











