Kelalaian FAM punca didenda AFC

Kelalaian FAM punca didenda AFC

JAMAL NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hukuman Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang dikenakan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) jelas menunjukkan badan induk bola sepak negara itu lalai dan tidak mengamalkan sikap profesionalisme yang tinggi.

Bekas pemain negara, Datuk Jamal Nasir berkata, sebagai badan induk kesalahan seperti itu tidak sepatutnya dilakukan memandangkan setiap aksi di peringkat antarabangsa mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Hukuman itu menunjukkan kita lalai dan kelalaian ini perlu dibayar. FAM perlu berlapang dada dan bayar sebab ini melibatkan kesilapan yang tidak mengikut SOP.

“Perlawanan di peringkat antarabangsa tak seperti aksi liga yang mungkin kurang tegas. Perlawanan di peringkat Asia ada SOP sebab ada siaran langsung yang dibayar oleh penaja.

“Mungkin kelewatan satu minit itu telah menyebabkan kerugian oleh penaja dan mereka menuntut kerugian dengan AFC,” katanya.

Terdahulu, FAM dikenakan denda keseluruhan AS$12,500 (RM51,000) oleh AFC selepas melanggar peraturan ketika aksi kelayakan Piala Asia menentang Nepal di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 18 November lalu.

Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC telah mengenakan hukuman pertama susulan kegagalan FAM sepak mula perlawanan bermula ikut masa yang ditetapkan.

Menurut AFC, perlawanan bermula lewat satu minit 20 saat bagi separuh masa pertama, manakala separuh masa kedua tertangguh selama satu minit 30 saat.

Disebabkan kesalahan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak AS$2,500 (RM10,192) kerana melanggar Artikel 2.2 Manual Operasi Pertandingan AFC.

FAM turut didapati gagal memastikan pemain kebangsaan, Faisal Abdul Halim yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan, menghadiri sidang media selepas tamat perlawanan.

Kesalahan berkenaan menyaksikan FAM dikenakan denda lebih berat iaitu RM40,770 selepas didapati melanggar Artikel 4.3.8 yang dibaca bersama Artikel 31.3 Peraturan Pertandingan Piala Asia AFC Arab Saudi 2027.

Selain FAM, Faisal turut dikenakan denda sebanyak RM40,770 selepas didapati melanggar Artikel 31.3 peraturan sama kerana gagal menghadiri sidang media walaupun sudah diminta oleh AFC.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN