PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan setiap keputusan pemilihan atlet negara mesti berlandaskan merit tanpa sebarang pilih kasih, susulan isu membabitkan atlet muda pecut negara, Danish Irfan Tamrin.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata KBS memandang serius dakwaan bahawa Danish dipaksa menarik diri daripada Sukan SEA 2025 dan menegaskan tindakan tegas akan diambil sekiranya salah laku disahkan.
Beliau menekankan, keputusan pemilihan atlet harus bersandarkan prestasi sebenar di gelanggang, sama ada melalui catatan masa, jarak atau pencapaian lain yang boleh diukur.
“Saya ada mengikuti laporan di media sosial, namun saya difahamkan Majlis Sukan Negara (MSN) telah meminta Olahraga Malaysia (MA) menjalankan siasatan menyeluruh mengenai perkara ini.
“Setiap atlet yang layak mewakili negara harus diberi peluang secara adil tanpa campur tangan yang berat sebelah.
“Apa yang penting, sekiranya siasatan menemui sebarang salah laku, MSN tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan,” kata Hannah kepada pemberita ketika sidang media geran KBS 2026 di Menara KBS, Putrajaya, semalam.
Dalam masa yang sama, Hannah turut memberi jaminan kepada ibu bapa Danish bahawa siasatan dijalankan secara telus dan profesional bagi memastikan kebenaran dapat dikenal pasti.
“Saya ingin beri jaminan kepada ibu bapanya supaya tidak perlu bimbang kerana siasatan sedang dijalankan. Kita akan mengambil tindakan secara profesional sekiranya wujud sebarang isu salah laku.
“Namun, tidak wajar untuk kita membuat sebarang penghakiman hanya berdasarkan laporan di media sosial. Kita perlu dengar kedua-dua pihak terlebih dahulu dan saya yakin MSN akan membuat keputusan yang tepat,” katanya.
Insiden ini berlaku selepas Danish memenangi pingat perak Kejohanan Sekolah ASEAN (ASG) dalam acara 100 meter (m), sekali gus menempatkannya dalam kelompok empat terbaik dan layak ke Sukan SEA Thailand.
Namun, ibunya mendakwa bahawa anak lelakinya itu dipaksa menarik diri oleh jurulatih dengan menulis surat mengatakan dia mengalami kecederaan, biarpun sihat menjalani latihan.
Bagaimanapun, ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil tidak menolak kemungkinan jurulatih membuat keputusan segera selepas melihat Danish menggunakan ‘kinesiology tape’ semasa latihan 200m yang mana ianya satu petanda lazim kecederaan dalam sukan balapan. – UTUSAN










