KANGAR: Kangar Jaya di sini menjadi projek rintis bandar selamat menerusi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan tersebut yang akan disambungkan secara terus ke Perlis Intergrated Command Center (PICC).
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth berkata, menerusi projek itu, fasiliti PICC telah diwujudkan di Jejawi, Arau, untuk dijadikan sebagai pusat sehenti bagi memantau setiap pergerakan di sekitar kawasan Kangar Jaya dan Terminal Perlis Sentral.
Beliau berkata, matlamat utama projek berkenaan bagi memastikan pasukan responsif dapat mengambil tindakan segera sekiranya berlaku sebarang permasalahan.
“Dalam masa sama, kemudahan ini membolehkan kita mempunyai rekod setiap kejadian berlaku dan secara tidak langsung dapat membuatkan masyarakat merasa selamat walaupun pada waktu malam. Bagi tujuan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM300,000 dan setakat ini, sebanyak sembilan CCTV telah dipasang di sekitar kawasan Kangar Jaya.
“Pelaksanaan projek itu turut merangkumi beberapa komponen seperti sistem rangkaian komunikasi, pembesar suara, papan tanda talian kecemasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lampu solar diod pancaran cahaya (LED),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pra Pelancaran Kangar Jaya Mall di sini hari ini.
Katanya, lampu yang dipasang akan menerangi keseluruhan kawasan termasuk laluan belakang sekali gus meningkatkan tahap penglihatan dan keselamatan terutama pada waktu malam.
“Projek berkenaan dijangka beroperasi sepenuhnya pada Januari depan selepas kerja-kerja pengujian akhir diselesaikan menjelang hujung bulan ini, dengan pemantauan dijalankan selama 24 jam oleh petugas dilantik. Jika pelaksanaan tersebut berjaya di Kangar Jaya, maka inisiatif ini akan dikembangkan ke kawasan lain khususnya seperti Arau, Pauh, Padang Besar dan Kuala Perlis,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kangar Jaya Sdn Bhd, Kim Lin Teng berkata, Kangar Jaya Mall bukan sahaja merupakan sebuah pusat membeli-belah terbesar di negeri ini, tetapi sebagai ruang komuniti, perniagaan dan gaya hidup moden untuk pengunjung khususnya penduduk Perlis.
“Kangar Jaya Mall diyakini dapat menyemarakkan lagi aktiviti ekonomi tempatan dan menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi di Perlis. Kami percaya bahawa pusat beli-belah moden seperti ini akan menarik pelaburan, mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan bermula dari kedai peruncit, khidmat pelanggan, penyelenggaraan, keselamatan hinggalah kepada sokongan operasi,” katanya.-UTUSAN










