JDT pertahan Piala FA

JDT pertahan Piala FA

PENYERANG JDT, Jairo Da Silva diasak pemain Sabah pada perlawanan akhir Piala FA 2025/2026 antara JDT dan Sabah, di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan kedudukan sebagai kuasa bola sepak negara apabila mempertahankan kejuaraan Piala FA 2025 dengan kemenangan bergaya 5-0 ke atas Sabah FC pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

JDT tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Johnatan Silva menanduk masuk sepakan percuma Oscar Arribas pada minit kelapan, sekali gus meletakkan juara bertahan itu di landasan tepat untuk menguasai perlawanan.

Tekanan berterusan pasukan Harimau Selatan memaksa pertahanan Sabah melakukan kesilapan apabila Rawilson Batuil tertanduk bola ke gawang sendiri pada minit ke-19 selepas rembatan Manuel Hidalgo ditampan, sebelum Jairo da Silva menambah derita lawan dengan tandukan kemas hasil sepakan penjuru Arribas tiga minit kemudian.

Memasuki separuh masa kedua, Sabah cuba bangkit dengan beberapa gerakan berbahaya, namun kekentalan benteng pertahanan JDT memastikan gawang mereka kekal kebal daripada dibolosi.

Harapan Sabah untuk bangkit semakin malap apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Miguel Cifuentes dilayangkan kad merah pada selang beberapa minit kemudian akibat mengumpul dua kad kuning selepas mengasari pemain JDT.

Arribas terus mempamerkan aksi cemerlang apabila meledak jaringan keempat JDT pada minit ke-63, sebelum Manuel Hidalgo melengkapkan malam gemilang pasukan selatan tanah air itu dengan gol kelima pada minit-minit akhir untuk mengesahkan kemenangan mutlak 5-0 dan mempertahankan Piala FA dengan penuh bergaya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN