PETALING JAYA: Skuad hoki 5s wanita negara menepati sasaran apabila membawa pulang pingat perak selepas tumpas 1-7 kepada tuan rumah, Thailand dalam aksi final di Sukan SEA 2025.
Thailand bermula garang dengan Thanaphon Khamnon meledak jaringan seawal minit ke-4 sebelum Malaysia menyamakan kedudukan seminit kemudian menerusi Nurfatin Dizana Mohd Zaidi.
Tuan rumah kembali di depan pada minit ke-5 melalui pukulan sudut Anongnat Piresram yang terus menaikkan tempo permainan.
Skuad Gajah Putih kemudian menambah derita Malaysia apabila Supansa Samanso dan Natthakarn Aunjai masing-masing menambah jaringan pada minit ke-8 dan 10.
Thailand terus mengukuhkan penguasaan babak kedua dengan dua lagi jaringan daripada Samanso dan Anongnat pada minit ke-19 dan 22.
Jenjira Kijpakdee melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah pada minit ke-27 sekali gus mengesahkan Malaysia pulang dengan pingat perak yang sudah diletakkan sebagai sasaran awal.










