Hajiji ketuai angkat sumpah ADUN Sabah

Hajiji ketuai angkat sumpah ADUN Sabah

HAJIJI Noor mengangkat sumpah ADUN di hadapan Speaker DUN Sabah. - JABATAN PENERANGAN SABAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengetuai 78 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengangkat sumpah di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Kadzim M.Yahya, di Kota Kinabalu hari ini.

Majlis angkat sumpah itu berlangsung selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berlangsung pada 29 November lalu yang menyaksikan pembentukan kerajaan campuran diketuai Gabungan Rakyat Rakyat (GRS).

Secara keseluruhan, DUN Sabah mempunyai 79 kerusi termasuk enam kerusi ADUN Dilantik  namun satu kerusi iaitu DUN Lamag diisytihar kosong berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada minggu lalu.

PRN Sabah menyaksikan GRS memenangi 29 kerusi daripada 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Selain itu, Parti Warisan (Warisan) meraih 25 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) pula enam, Bebas (lima), UPKO (tiga), Star (dua), Pakatan Harapan (satu), Perikatan Nasional (satu) dan KDM (satu).

Upacara angkat sumpah bermula dengan Hajiji yang merupakan ADUN Sulaman dan diikuti tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam (GRS-Kundasang); Datuk Seri Masidi (GRS-Karanaan) dan Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian).

Kemudian disusuli tujuh menteri dan 17 pembantu menteri Kabinet Sabah iaitu antaranya  Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar (PH-Melalap) dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin (BN-Sukau).

Esok Masidi yang juga Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dijadual akan membentangkan Belanjawan Sabah 2026 yang bertemakan ‘Memacu Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat Diutamakan’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN