BOURNEMOUTH, England: Gol tunggal Jack Grealish memastikan Everton melakar kemenangan 1-0 ke atas Bournemouth, sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah tuan rumah di laman sendiri musim ini, awal pagi tadi.
Kemenangan ketiga Everton dalam empat aksi, yang juga kemenangan liga pertama mereka di Bournemouth, membolehkan mereka mengumpul 21 mata daripada 14 perlawanan untuk melonjak ke tangga kesembilan manakala Bournemouth di tangga ke-14 dengan 19 mata.
Grealish memecah kebuntuan gol pada minit ke-78 dan ia merupakan jaringan keduanya dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Carlos Alcaraz merampas bola di tengah padang sebelum melorongkan kepada Grealish yang berlari pantas ke arah gol, lalu melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang terbias pemain pertahanan Bafode Diakite sebelum bola menggegar jaring.
Bournemouth pula hanya mengutip satu mata daripada 15 terakhir dan walaupun belum berada di zon penyingkiran, ketumpulan serangan dalam perlawanan itu pasti merisaukan pengurus Andoni Iraola.
Aksi seterusnya, Everton akan menyambut kehadiran bekas pengendali mereka, Sean Dyche yang kini membimbing Nottingham Forest di Stadium Hill Dickenson Sabtu ini, manakala Bournemouth menerima kunjungan Chelsea. -AGENSI










