PELAKON yang dilahirkan dalam keluarga seni akan terus digelar nepo baby disebabkan kerana status mereka sebagai anak kepada pelakon atau penyanyi.
Gelaran itu boleh menjadi satu kelebihan dan pada masa sama, bertukar sebagai kekurangan buat selebriti berkenaan.
Tidak semua bintang selesa membawa gelaran tersebut. Ada yang benar-benar bekerja keras untuk membuktikan yang mereka tidak perlu ‘bertongkat’ nama keluarga untuk berjaya.
Berikut empat pelakon nepo baby yang bakal mendunia kerana bakat dan bukan nama keluarga.
DEACON PHILLIPPE
Status sebagai anak pelakon, Reese Witherspoon dan Ryan Phillippe menjadi batu loncatan kepada Deacon Phillipe masuk ke dunia perfileman Hollywood.

Deacon membuat kemunculan pertama dalam dunia lakonan menerusi drama bersiri Never Have I Ever musim ketiga yang ditayangkan di Netflix.
Penerbit Mindy Kaling menyifatkan Deacon sebagai anak pelakon ternama Hollywood yang bukan sahaja mewarisi bakat lakonan namun keinginan yang tinggi untuk belajar menjadi pelakon.
SAM NIVOLA
Bergelar anak kepada pasangan selebriti, Emily Mortimer dan Alessandro Nivola menjadi satu kelebihan buat Sam Nivola.
Bahkan, Sam memulakan pembabitan dalam lakonan bersama ibunya dalam drama komedi Doll & Em pada 2013.
Namun pelakon berusia 22 tahun ini enggan terus dibayangi populariti ibu bapanya.

Malah, Sam pernah memaklumkan media yang dia juga berusaha keras untuk menempatkan diri sebagai pelakon tanpa menggunakan nama orang tuanya sebagai jalan pintas.
Hal itu terbukti apabila dia lulus sesi uji bakat untuk watak filem White Noise yang ditayangkan pada 2022.
NICO PARKER
Lahir dan membesar di London, United Kingdom, Nico Parker merupakan anak kepada pengarah Oi Parker dan pelakon, Thandiwe Newton.
Parker membuat kemunculan sulung dalam dunia perfileman menerusi filem Dumbo yang ditayangkan pada 2019. Tim Burton antara pengarah terawal yang mengenal pasti potensi Parker dalam dunia lakonan.

Lakonannya sebagai Sarah Miller menerusi drama The Last of Us pada 2023 meraih pujian ramai.
Bakat lakonan Nico terus menyerlah dan diperkatakan menerusi kemunculannya dalam filem Suncoast pada 2024.
Persembahan cemerlang dalam filem berkenaan melayakkannya menjulang trofi Bakat Baharu Terbaik sempena Festival Filem Sundance tahun lalu.
RAFF LAW
Berusia 29 tahun, Rafferty ‘Raff’ Jellicoe Frost Law merupakan anak kepada pelakon Jude Law dan bekas isterinya, Sadie Frost.
Law yang mendapat pendidikan awal di Hampshire, menonjolkan bakat lakonan bermula usia lima tahun dengan menyertai pementasan Pinnochio di sekolahnya.

Seperti ibu bapanya, Law dianugerahkan rupa paras dan bakat lakonan yang melayakkannya bergelar bintang filem.
Pada 2020, Law pertama kali digandingkan dengan bapanya dalam filem pendek, The Hat. Penggambaran filem tersebut dibuat dengan iPhone semasa pandemik.










