Ekspres Selatan berakhir selepas sembilan tahun

Ekspres Selatan berakhir selepas sembilan tahun

SALIM Misdi membunyikan lonceng sebagai simbolik penamatan operasi Ekspres Selatan Johor Bahru Gemas di JB Sentral, Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perkhidmatan Ekspres Selatan secara rasmi dilabuhkan hari ini tepat pukul 6.05 petang selepas hampir sembilan tahun menjadi nadi pengangkutan rel di selatan tanah air, sekali gus membuka lembaran baharu dengan pengenalan perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang lebih moden dan efisien.

Majlis pelepasan tren terakhir yang membawa 170 penumpang itu berlangsung di Stesen Keretapi JB Sentral di sini, menandakan peralihan fasa penting dalam landskap perkhidmatan rel negara, khususnya di selatan tanah air.

Pengurus Kanan Wilayah Selatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Salim Misdi berkata, penamatan operasi Ekspres Selatan bukan sekadar penutup sebuah perkhidmatan lama, sebaliknya simbol kepada transformasi sistem rel yang lebih mampan dan bersedia menghadapi keperluan masa hadapan.

Menurut beliau, seiring kesiapsiagaan infrastruktur Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru, KTMB kini mengoptimumkan penggunaan kemudahan baharu dengan memperkenalkan ETS yang menawarkan perjalanan lebih selesa, pantas dan mesra alam.

“Melalui perkhidmatan ETS, penumpang akan menikmati pengalaman perjalanan yang lebih moden, kekerapan tren ditingkatkan sehingga lapan perkhidmatan sehari, masa menunggu yang lebih singkat di stesen serta menyokong agenda mobiliti hijau negara,” katanya kepada pemberita.

Mengulas peranan Ekspres Selatan sebelum ini, Salim berkata perkhidmatan berkenaan memainkan peranan penting menghubungkan Gemas dan Johor Bahru, selain menjadi pilihan utama rakyat di selatan tanah air untuk urusan kerja, pendidikan dan perjalanan harian.

Tambah beliau, KTMB turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penumpang atas sokongan berterusan sepanjang tempoh operasi Ekspres Selatan, sambil berharap perkhidmatan ETS bakal menjadi pilihan utama pengguna rel di selatan negara.

Peralihan kepada ETS ini dijangka memperkukuh sistem pengangkutan awam negara serta meningkatkan tahap keselesaan dan kecekapan perjalanan rel sejajar aspirasi pembangunan pengangkutan moden Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN