Perjalanan hidup pesakit barah paru-paru sememangnya amat sukar. Bukan saja mereka menanggung kesakitan tetapi seringkali ia menyebabkan tekanan yang mempengaruhi emosi sekali gus kehidupan seharian mereka.
Pesakit juga seringkali tidak memahami dan keliru dengan rawatan yang dijalani berikutan tidak mempunyai masa untuk mendapatkan maklumat tepat mengenainya kerana perlu menjalani prosedur rawatan secepat mungkin bagi membunuh sel kanser, ditambah gejala serta tekanan emosi.
Justeru amat penting bagi pesakit untuk mempunyai diari bagi mencatatkan sebarang gejala atau pengalaman sepanjang menjalani rawatan yang akan memudahkan doktor memahami masalah pesakit seterusnya memberikan rawatan sewajarnya.
Selaras dengan komitmen Malaysia terhadap kesihatan paru-paru, MSD dan Persatuan Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia (LCNM), sebuah rangkaian multidisiplin terdiri daripada profesional dan pakar kanser paru-paru, baru-baru ini melancarkan ‘Diari Rawatan Imunoterapi (IO) Kanser Paru-Paru’ yang pertama di negara ini.
Diari komprehensif ini diterbitkan bagi membantu pesakit kanser paru-paru memahami diagnosis, mengetahui pilihan rawatan yang tersedia, serta berperanan aktif dalam penjagaan kesihatan mereka.
Ia akan diedarkan secara percuma kepada pesakit kanser paru-paru di hospital dan klinik terpilih di seluruh negara. Pakar kesihatan boleh memohon salinan untuk pesakit mereka melalui LCNM. Versi digital boleh diakses oleh orang ramai.
Pengarah Urusan MSD Singapura, Malaysia dan Brunei, Dr. Abdullahi Sheriff berkata, kepimpinan Malaysia dalam resolusi WHO menunjukkan komitmen serius untuk meningkatkan kesihatan paru-paru
“Diari ini dihasilkan dengan susun letak yang mudah bagi kefahaman pesakit dan penjaga mereka merekodkan sebarang pengalaman sepanjang rawatan. Malah ia adalah kaedah berkesan dalam menentukan arah tuju rawatan yang berkesan dan mengurangkan tekanan dialami pesakit,” jelasnya.
Kanser paru-paru adalah kanser kedua paling kerap didiagnos dalam kalangan lelaki di Malaysia dengan kadar insiden 13.2 bagi setiap 100,000 penduduk. Ia juga adalah kanser keempat paling kerap didiagnos dalam kalangan wanita dengan kadar insiden 5.9 bagi setiap 100,000 penduduk.
Apa yang menyedihkan, hampir 95 peratus kes kanser paru-paru dikesan pada tahap akhir (Tahap III atau IV).
Kanser paru-paru kerap berlaku dalam kalangan lelaki di negara ini dan kanser ke empat bagi wanita dengan 5, 000 kes di Malaysia setiap tahun. Kira-kira 80 peratus pesakit berada pada tahap lanjutan. Lebih 90 peratus berada pada tahap tiga dan empat. Rawatan Terapi Imunoterapi (IO) adalah penting malah kaedah berkesan dalam merawat pesakit.
Presiden Jaringan Kanser Paru-Paru Malaysia, Onkologi Klinikal, Dr. Tho Lye Mun berkata, Diari Rawatan IO ini membantu melengkapkan kesinambungan penjagaan kanser paru-paru.

“Ia memperkasakan pesakit untuk menjadi rakan kongsi aktif dalam penjagaan kesihatan mereka, bukan sekadar penerima pasif. Sekiranya pesakit memahami proses rawatan mereka dan berkomunikasi secara berkesan dengan pasukan penjagaan kesihatan mereka, hasil rawatan boleh bertambah baik.
“Ramai pesakit memulakan rawatan tanpa masa yang mencukupi untuk memahami diagnosis atau proses rawatan mereka. Jurang pengetahuan ini boleh menjejaskan cara pesakit berinteraksi dengan pasukan perubatan serta pengurusan rawatan mereka,” katanya.
Katanya, kajian menunjukkan bahawa pesakit yang memahami rawatan mereka dan mempunyai komunikasi yang baik dengan pasukan penjagaan kesihatan adalah lebih cenderung meneruskan rawatan mereka .
Kandungan diari ini merangkumi halaman pemantauan simptom mingguan dengan visual bagi sistem tubuh yang terjejas. Maklumat pendidikan yang menerangkan bagaimana cara rawatan kanser berfungsi dalam bahasa mudah difahami.
Ia juga mengandungi panduan mengenal pasti kesan sampingan dengan tanda amaran untuk pelbagai organ selain ruang mencatat soalan bagi persediaan sebelum temu janji dengan doktor.
Terdapat juga halaman maklumat perhubungan pasukan penjagaan kesihatan dan sistem penilaian kemajuan untuk memantau tahap kesejahteraan keseluruhan.
“Mungkin bagi sesetengah pesakit, gejala ketika menjalani rawatan IO ini tidak penting tetapi sebaliknya bagi doktor, ia tidak sepatutnya berlaku.
“Sebagai contoh,apabila pesakit berkenaan batuk, doktor bimbang jika ia adalah radang paru-paru yang sebenarnya bukan disebabkan jangkitan sebaliknya tindak balas aktif sistem imun tubuh ke atas rawatan,” katanya.
Katanya, 50 sehingga 70 peratus pesakit akan mengalami satu jenis kesan sampingan rawatan 10 tetapi jika dikesan awal dan dirawat, ia boleh disembuhkan.
Tambahnya, mungkin lima hingga 10 peratus akan menjadi lebih serius. Jika ini berlaku, ia perlu dihentikan dengan rawatan sebelum rawatan kanser diteruskan.
Ramai tidak ingat gejala dialami
Pengarah National Cancer Society, Kolonel Bersekutu, Dr. Muralitharan Munisamy berkata, ramai pesakit tidak tahu adakah gejala yang mereka alami ini berkaitan perubatan, masalah enzim atau gejala disebabkan penyakit berjangkit yang sederhana seperti influenza dan sebagainya.

“Salah satu cabaran adalah banyaknya ‘ajaran sesat’ dalam menangani gejala yang dialami seperti ahli keluarga, jiran dan saudara mara yang menawarkan pesakit ubat batuk atau ubat-ubat lain untuk mengatasi gejala dialami. Tanpa disedari, ini menjejaskan skim perubatan mereka sendirii,” katanya.
Apabila seseorang mula menjalani rawatan, doktor akan memantau kesan reaksi yang dialami pesakit. Adakala ubat berkesan tetapi pada masa sama boleh memudaratkan pesakit akibat kesan sampingan. Setiap pesakit mengalami gejala berbeza dan doktor sukar mendapatkan maklumat dari segi klinikal.
“Doktor pakar juga dapat memantau emosi mereka secara sistematik melalui diari ini. Menulis apa yang dialami juga mampu memberikan keyakinan diri disamping memberikan mereka peranan dalam perjalanan mereka sendiri,” katanya.
Katanya, pada Disember ini, National Cancer Society akan menawarkan rawatan IO percuma kepada 200 pesakit yang ditaja oleh sebuah badan amal dari Asia Barat. Ini berikutan rawatan IO sangat terhad di hospital awam kerana kosnya sangat mahal. – UTUSAN










