KUALA LANGAT: Pelari triatlon negara, Cindy Sui, memberi bayangan awal kemampuan sebenar menjelang penampilan sulungnya di Sukan SEA Thailand 2025 apabila muncul juara acara pecut wanita dalam Aquathlon Kuala Langat 2025 yang berlangsung di Tanjung Sepat, hari ini.
Atlet berusia 27 tahun itu menamatkan cabaran melibatkan 750 meter renangan dan 5 kilometer larian dengan catatan masa 34 minit 33 saat, jauh meninggalkan pesaing terdekat, Chan May Yan (37:37) serta Shannon Liaw (40:49).
Cindy, bekas perenang Sarawak, mengakui kejayaan itu menjadi tonik terbaik dan simulasi tepat sebelum menggalas cabaran negara di Bangkok nanti.
“Perlumbaan ini beri saya gambaran jelas bagaimana mahu mengatur rentak di Sukan SEA, khususnya kerana aquathlon merupakan acara pembukaan saya di sana. Hari ini bukan perlumbaan utama, tetapi ia sangat penting untuk menilai respons badan dan melihat apa yang perlu diperbaiki,” katanya.
Menurutnya, penghijrahan daripada sukan renang ke triatlon membuka lembaran baharu dalam kariernya selepas sekian lama tidak berjaya menembusi skuad kebangsaan.
“Saya bersaing dalam renang sejak kecil, tetapi tahap tertinggi saya hanyalah SUKMA. Ketika itu saya fikir impian mewakili negara sudah berakhir.
“Tapi apabila saya cuba triatlon, semuanya berubah. Saya tak sangka mampu bertahan dalam sukan yang begitu fizikal dan teknikal, dan hari ini saya akhirnya dapat memakai jersi negara. Ia antara keputusan terbaik yang pernah saya buat,” ujarnya.
Dalam kategori lelaki jarak Olimpik yang merangkumi 1.5km renangan dan 10km larian, anggota tentera, Koperal Khairil Azhar Abdul Wahid, mencuri tumpuan apabila dinobatkan juara dengan masa 1:05:23, mengatasi Jeremy Tan (1:06:16) dan Indra Abunawas (1:07:43).
Edisi ketiga Aquathlon Kuala Langat yang dianjurkan Majlis Perbandaran Kuala Langat bersama XS Elite Performance dan AMMJB kali ini turut mencatat penyertaan membanggakan dengan 550 peserta dari 18 negara, menjadikannya antara penganjuran terbesar sejak diperkenalkan.-UTUSAN










