FRANKFURT: Algeria berharap dapat memanfaatkan keserasian iklim Maghribi untuk meraih gelaran Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) buat kali ketiga, kata pemain tengahnya, Fares Chaibi.
Pemain Eintracht Frankfurt yang telah membuat 22 penampilan antarabangsa itu turut percaya faktor jarak yang dekat akan memudahkan penyokong Algeria hadir memberi sokongan apabila AFCON bermula pada Isnin ini.
Chaibi yang lahir di Perancis menyatakan keterujaannya terhadap kejohanan tersebut, walaupun dia bakal terlepas perlawanan penting bersama kelabnya.
“Kami tidak sabar menantikan piala ini. Ia pasti akan menjadi kejohanan yang hebat. Saudara-saudara kami di Maghribi mempunyai infrastruktur yang sangat baik dan tahu bagaimana untuk menganjurkan kejohanan besar.
“Kami tidak ragu-ragu tentang kualiti stadium. Saya fikir semua pasukan gembira bermain di Maghribi dan saya harap ia akan menjadi kejohanan yang hebat.
“Maghribi mempunyai iklim yang sama seperti Algeria, kami tidak akan berasa seperti orang asing, seolah-olah bermain di laman sendiri. Kami mempunyai segala-galanya untuk menghasilkan kejohanan yang besar, dan kami pergi ke sana untuk merealisasikannya,” katanya.
Chaibi turut membantu Algeria kembali ke Piala Dunia pada 2026 selepas ketiadaan selama 12 tahun, sekali gus merealisasikan impiannya untuk menyertai skuad kebangsaan negaranya sejak 2014.
Sebagai rekod, Algeria menjuarai AFCON pada 1990 dan 2019. – AGENSI










