PETALING JAYA: Beregu campuran No. 1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei gagal mengulangi pencapaian edisi lalu, apabila langkah mereka tersekat pada separuh akhir Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2025 di Hangzhou, China, hari ini.
Juara dunia itu tunduk kepada gandingan tuan rumah yang menghuni ranking No. 2 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-9, 11-21, 17-21 dalam masa 58 minit.
Kekalahan itu juga menyaksikan Zhen Bang-Ya Xin semakin melebarkan rekod pertemuan mereka ke atas Tang Jie-Ee Wei kepada 5-2.
Pertembungan kedua-dua beregu itu juga mengulangi aksi final Kejohanan Dunia di Paris, Ogos lalu, bagaimanapun, Tang Jie-Ee Wei gagal mengekalkan prestasi cemerlang yang dipamerkan sewaktu mereka merangkul gelaran dunia tersebut.
Malah, pasangan No. 4 dunia itu gagal mengulangi pencapaian pada edisi lalu selepas mereka muncul sebagai naib juara pada WTF 2024.
Pada perlawanan akhir, esok, tiada wakil Malaysia selepas beregu wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah turut terkandas.
Tang Jie-Ee Wei menutup kempen musim 2025 dengan perjalanan karier yang diibaratkan seperti roller coaster selepas pernah berpisah buat sementara waktu pada awal tahun ini.
Muncul sebagai juara dunia, menjadi detik paling manis dilakar pasangan tersebut selepas dilanda pelbagai krisis. – UTUSAN










