PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan seorang Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) petang semalam bagi membantu siasatan kes projek usaha sama ternakan lembu milik kerajaan negeri.
Menurut sumber, siasatan telah dijalankan sejak Februari lalu melibatkan dakwaan penerimaan kira-kira RM400,000 sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah untuk projek fidlot.
“Kertas siasatan dibuka berikutan aduan yang diterima pada 10 Februari 2025, dan setakat ini 15 saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” katanya.
Difahamkan, penahanan Ahli Parlimen itu dilakukan bagi melengkapkan proses pertuduhan yang dijangka dibuat dalam masa terdekat.
Sumber sama mendedahkan siasatan melibatkan dokumen berkaitan perjanjian projek, transaksi kewangan serta pengesahan beberapa pihak berkepentingan di peringkat negeri.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut bagi melengkapkan siasatan.
“Individu berkenaan telah dirakam percakapan di bawah Seksyen 53(3) Akta SPRM 2009 dan telah dilepaskan dengan jaminan,” katanya. – UTUSAN










