PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad hoki remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin mengakui berasa kecewa dengan prestasi pemainnya selepas tewas 3-1 kepada Afrika Selatan dalam kempen Piala Dunia Hoki Remaja 2025 di Tamil Nadu, India, hari ini.
Nor Saiful berkata, kegagalan penyudah yang baik telah menjadi punca kepada kekalahan tersebut sekali gus menyebabkan Malaysia beraksi dalam penentuan tempat ke-13 hingga ke-16 kejohanan.
“Kita banyak mengawal bola, kita masuk kawasan lawan tapi tak dapat gol dengan (menentang) England pun sama, banyak peluang tapi tak gol. Hakikatnya saya rasa kita tiada penjaring dalam pertandingan ini.
“Bukan sahaja penyerang tetapi tengah dan pertahanan dapat bola dalam kawasan gol lawan pun tak boleh jaringkan gol malah mereka tak pandai cari pukulan sudut penalti.
“Dan sangat mengecewakan pada saya sebab perlawanan yang kita boleh menang tapi kalah 3-1,” katanya.
Dalam aksi tersebut, dua gol Afrika Selatan dijaringkan oleh Jaydon Brooker sebelum Ross Montgomery menjaringkan gol ketiga pasukan manakala gol tunggal negara dijaringkan oleh Muhammad Aqil Danial Mat Ruslee.
Nor Saiful turut berkata, lawan bijak mencari pukulan sudut penalti selain memiliki flicker yang baik menjadi kelebihan buat mereka. – UTUSAN










