PETALING JAYA: Beregu lelaki No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal menghadiahkan pingat emas kedua buat Malaysia dalam acara badminton individu pada Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand, hari ini.
Gandingan No. 1 negara itu terpaksa akur buat kali kedua berturut-turut kepada pasangan No. 8 dunia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia selepas tewas straight set 14-21, 17-21 dalam masa 45 minit.
Aaron-Wooi Yik turut ditimpa kekalahan di tangan beregu sama dalam acara berpasukan lelaki pada temasya dwi tahunan tersebut.
Terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, kekalahan Aaron-Wooi Yik kepada Sabar-Moh Reza menyaksikan rekod pertemuan yang tidak berpihak kepada pasangan Malaysia itu semakin melebar menjadi 1-4.
Kali terakhir Aaron-Wooi Yik mengukir kemenangan ke atas Sabar-Moh Reza adalah pada suku akhir Terbuka Perancis, Oktober lalu.
Kegagalan menjelmakan pingat emas, menyaksikan Aaron-Wooi Yik juga merupakan beregu lelaki terakhir Malaysia menyumbang pingat emas pada temasya 2019 di Filipina.
Berakhirnya cabaran beregu lelaki tersebut, bermakna skuad badminton kebangsaan menutup aksi dengan hanya satu pingat emas, terima kasih kepada gandingan wanita No. 2 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah yang muncul satu-satunya wakil Malaysia memenuhi jangkaan yang diletakkan.
Kutipan pingat keseluruhan dalam acara badminton adalah satu emas (beregu wanita), dua perak (berpasukan lelaki, beregu lelaki) dan enam gangsa (berpasukan wanita, beregu campuran, perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki). – UTUSAN










