34 saat musnahkan impian final Malaysia

34 saat musnahkan impian final Malaysia

Dalam aksi final pada Isnin ini, Thailand akan berdepan Indonesia, manakala Malaysia akan berdepan Vietnam dalam penentuan tempat ketiga. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Impian Malaysia untuk ke final Kejuaraan Futsal Bawah 19 ASEAN 2025 tidak kesampaian apabila tumpas 3-4 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Thailand, sebentar tadi.

Dalam aksi penuh dramatik itu, Thailand bangkit daripada ketinggalan 1-3 untuk mengikat kedudukan menjadi 3-3 pada masa sebenar bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Dua gol Thailand itu terhasil menerusi permainan ‘power play’ dan lebih memeritkan gol penyamaan hadir pada 34 saat (s) terakhir, sekali gus menyaksikan perlawanan diheret ke masa tambahan.

Dalam aksi itu, Thailand terlebih dahulu di hadapan menerusi Pakhphum Thiamtee pada minit ke-3, namun kelebihan itu hanya bertahan seminit apabila Muhammmad Fitri Haqim Faizanizam kembali menyamakan kedudukan.

Seterusnya, aksi berintensiti tinggi terus dijelmakan kedua-dua pasukan dimana Thailand dan Malaysia saling mengatur serangan untuk mencari gol pendahuluan.

Walaupun Thailand mendapat sokongan padu daripada penyokong sendiri, anak buah Rakphol Sainetngam terus berjiwa besar hingga memaksa babak pertama berakhir seimbang 1-1.

Bersambung babak kedua, permainan bertambah menarik apabila Malaysia meledak dua gol dalam tempoh dua minit menerusi Muhammad Aidil Zaquan Mohd Azman (m-26) dan Adam Rayyan (m-28).

Tersentak dengan jaringan itu, Thailand menggunakan taktikal ‘power play’ yang menghukum Malaysia menerusi jaringan Monthana Jankrakan (m-36) sebelum Thiamtee meledak gol penyamaan pada 34s terakhir.

Pada masa tambahan, Thailand meledak gol pendahuluan menjadikan kedudukan 4-3 menerusi
Thanakrit Ouansri (m-41), namun Malaysia bangkit menyamakan kedudukan 4-4 hasil jaringan Iqbal Hazim (m-48).

Kedudukan 4-4 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Dalam penentuan sepakan penalti, aksi cemerlang penjaga gol Thailand yang menafikan sepakan Aidil Zaquan dan Muhammmad Fitri Haqim membolehkan mereka menang 4-3.

Dalam aksi final pada Isnin ini, Thailand akan berdepan Indonesia, manakala Malaysia akan berdepan Vietnam dalam penentuan tempat ketiga.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN