Surat derma Arab palsu, Najib-Jho Low saling mengenali

1MDB: Surat derma Arab palsu, Najib-Jho Low saling mengenali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas dua jam 30 minit, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah masih lagi membaca penghakiman ringkasnya dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mahkamah akan berhenti untuk Solat Jumaat sebelum bersambung semula pukul 3 petang ini.

Hakim Sequerah yang kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan memberi bayangan beliau memerlukan sekurang-kurangnya satu jam 30 minit untuk menghabiskan penghakimannya.

Ketika membaca penghakimannya, Hakim Sequerah menyatakan pengurusan tertinggi 1MDB dan beberapa saksi lain mengikut arahan Jho Low adalah kerana mereka percaya setiap arahan itu datangnya daripada Najib.

“Adalah sesuatu yang melangkaui batasan imaginasi hingga ke alam fantasi semata-mata untuk beranggapan mereka (akan) mempertimbangkan arahan Jho Low berkaitan urusan 1MDB yang melibatkan jumlah wang yang amat besar (kecuali) jika mereka benar-benar mempercayai bahawa Jho Low bertindak atas arahan tertuduh.

“Atau melaksanakan apa juga arahan yang diberikan oleh Jho Low dengan kepercayaan tulen bahawa arahan tersebut sebenarnya datang daripada tertuduh.

“Hakikat bahawa kedua-dua lelaki itu (Najib dan Jho Low) saling mengenali juga bukanlah suatu kebetulan semata-mata. Terdapat bukti hubungan mereka melalui gambar-gambar yang diambil semasa percutian,” kata hakim itu.

Beliau turut menyatakan bahawa empat surat yang kononnya menyatakan bahawa dana yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib dari derma Arab Saudi adalah palsu.

“Dakwaan derma Arab tidak bermerit, surat derma Arab adalah palsu. Surat derma Arab adalah satu percubaan untuk mengabsahkan dakwaan sumbangan oleh tertuduh, namun kandungannya tidak menyokong naratif bahawa dana itu adalah sumbangan.

“Dalam pembelaan, cara dana itu disalurkan adalah sepenuhnya terpulang kepada Allahyarham Raja Abdullah, namun hujahan itu tidak membantu kes pembelaan.

“Saksi pembelaan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut mengakui beliau tidak pernah mendengar secara langsung bahawa Raja Abdullah berhasrat menyalurkan sumbangan kewangan kepada Najib.

“Kebolehpercayaan saksi pembelaan tidak membantu kes pembelaan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN